comscore
Tumpuan :
Nasional

Insiden kenderaan terbabas di kawasan gereja, tiada unsur sabotaj 

FOTO: PDRM

KUALA LUMPUR: Siasatan polis mendapati kejadian sebuah kenderaan terbabas masuk ke dalam kawasan sebuah gereja di Jalan SS 25/23 Taman Plaza, Petaling Jaya dekat sini, Jumaat lalu, tiada unsur sabotaj.

Kemalangan dilaporkan berlaku jam 11.46 malam dan kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30-an itu dalam perjalanan dari Subang Jaya ke Kelana Jaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa dan hanya mengakibatkan kerosakan harta benda.

Katanya, pemandu SUV memaklumkan dia tersalah jalan dan secara tiba-tiba kenderaannya hilang kawalan lalu terbabas masuk ke kawasan pakir gereja.

“Pemandu SUV mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian tidak membabitkan sebarang unsur atau isu sabotaj atau khianat terhadap mana-mana pihak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan sebuah kenderaan terbabas dan melanggar pokok di Gereja St Ignatius, Petaling Jaya malam kelmarin.

Paderi Lawrence Ng dalam kenyataan, memaklumkan kenderaan itu terbabas masuk melalui pintu pagar dan merosakkan beberapa meja dan kerusi yang berada di tempat letak kereta berbumbung sebelum merempuh sebatang pokok di situ.

M Hussin berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis masih dalam tindakan mengesan dan merakam keterangan saksi bebas kejadian.

“Sampel darah pemandu motokar telah diambil dan akan diserahkan ke Jabatan Kimia untuk ujian alkohol dan dadah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya pihak polis ingin mengingatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam.

Beliau turut meminta kerjasama masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat atau berada di tempat kejadian, untuk tampil membantu siasatan,

Katanya, maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ipd Petaling Jaya, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini