comscore
Tumpuan :
Nasional

Insiden kenderaan terjunam: Faktor infrastruktur parkir, pemandu perlu diambil kira  

Kejadian kereta terjunam dari parkir bertingkat di ibu negara. FOTO: Ihsan PGO KL

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PETALING JAYA: Insiden kenderaan terjunam dari parkir bertingkat di ibu negara kelmarin perlu dilihat dari pelbagai sudut bagi mengenalpasti punca kejadian ia berlaku.

Keadaan infrastruktur kawasan letak kereta dan sikap pemandu juga menjadi faktor penting kepada kejadian yang mampu meragut nyawa.

Kejadian kenderaan terjunam dari tempat letak kereta bangunan bertingkat bukan kes yang baharu dilaporkan di negara ini.

Pada 2020, seorang warga emas disahkan maut apabila kenderaan dipandunya terbabas dan terjatuh dari tingkat tiga tempat letak kereta sebuah apartment di ibu negara.

Baru-baru ini kejadian sama turut berlaku melibatkan seorang wanita yang nyaris maut apabila kenderaannya terjunam dari tingkat satu bangunan.

Pakar Pengurusan Fasiliti dan Keselamatan Bangunan, UiTM, Prof Ts. Sr. Dr Md Yusof Hamid yang dihubungi Buletin TV3 berkata, keadaan infrastruktur tempat letak kereta yang tidak diselenggara mampu mengundang risiko keselamatan kepada pengguna.

Prof Ts. Sr. Dr Md Yusof Hamid / Pakar Pengurusan Fasiliti dan Keselamatan Bangunan, UiTM

Antaranya lantai berminyak, pencahayaan kurang dan laluan yang sempit yang menyebabkan halangan disifatkan sebagai infrastruktur yang tidak memuaskan.

“Pemeriksaan berkala perlu dilakukan oleh pemilik bangunan melalui syarikat pengurusan bangunan ataupun kontraktor yang dilantik juga boleh menggunakan khidmat profesional seperti jurukur bangunan, pihak jurutera dari segi melihat kestabilan dan struktur bagi parkir bertingkat tersebut.

“Jadi dengan pelantikan tersebut ia dapat mengenalpasti elemen keselamatan di parkir bertingkat sam ada berada dalam keadaan baik dan juga untuk visibility amaran bahaya dan sebagainya.” katanya kepada Buletin TV3.

Tambahnya, struktur tembok berdinding juga perlu diberikan perhatian untuk memastikan ia berada dalam keadaan yang kukuh.

Selain itu, elemen keselamatan tambahan diruang parkir bertingkat juga perlu ada seperti bumper getah dan penghadang besi bagi mengelakkan risiko kenderaan terjunam.

Pakar Automotif dan Keselamatan Jalan Raya, Prof Datuk Ir. Mohamad Dalib pula berpandangan pemanduan dengan kelajuan yang tinggi terutama di kawasan parkir bertingkat tidak mustahil mampu merobohkan dinding terutama yang dibina dari batu bata apabila dirempuh oleh kenderaan.

Prof Datuk Ir. Mohamad Dalib / Pakar Automotif dan Keselamatan Jalan Raya

Selain tindak balas pemandu yang panik apabila berlaku kemalangan juga menjadi sebab kejadian tersebut mampu berlaku.

“Kenapa kereta itu boleh terjun? Sedangkan kenderaan yang mana masuk dan bergerak dalam parkir bertingkat mesti ada selekoh yang sentiasa perlu dikawal.

“Kenapa tidak gunakan brek? Sedangkan pada kereta semua ada handbrake tetapi tidak gunakan.

“Kenapa boleh jadi? Ini adalah disebabkan ekoran daripada panik. Manusia yang panik. Dia nak tekan brek tetapi tertekan minyak, lantas terus langgar tembok dan jatuh.” ujar Prof Datuk Ir. Mohamad Dalib.

Faktor kenderaan juga perlu diambil kira misalnya kondisi tayar dan brek yang berada dalam keadaan yang tidak memuaskan.

Oleh itu, penyelenggaraan kenderaan perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan ia berada pada tahap optimum sekaligus mampu mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini