
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan memanggil pihak terbabit berhubung insiden seorang pengunjung cedera ditimpa pelampung permainan gelongsor air kaca yang terjatuh di sebuah taman tema di sini, Rabu lalu.
Bagaimanapun beliau perlu menunggu Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Rabu ini untuk mendapat laporan penuh sebelum memanggil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pengurusan taman tema berkenaan.
“Saya akan panggil mereka (pihak pengurusan taman tema) atau pihak majlis (MBSA) tapi saya nak tunggu mesyuarat EXCO Rabu ini untuk dapat laporan penuh.
“Saya dah baca laporan bertulis tapi kita nak tunggu laporan seterusnya dan minta mereka segera patuh kepada ketetapan dibuat pihak berkuasa seperti MBSA dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Program Amanat Menteri Besar Selangor bersama Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Tradisi Selangor di sini, semalam.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan seorang pengunjung cedera ditimpa pelampung permainan gelongsor air kaca yang terjatuh di sebuah taman tema di Seksyen 7, di sini, pada malam 29 Januari lalu.
Susulan itu, MBSA menerusi kenyataan pada 31 Januari lalu turut mengesahkan pernah mengeluarkan sembilan notis terhadap taman tema berkenaan.
Antaranya membabitkan tiga notis amaran pada 14 November 2024 dan satu notis amaran pada 19 Januari lalu.
MBSA turut mengeluarkan arahan penutupan serta merta selepas lawatan turun padang oleh pengurusan tertinggi MBSA diketuai oleh Pemangku Timbalan Datuk Bandar MBSA, Madiyan Baweh, Ahli Majlis MBSA, Maizan Abdul Majid dan polis pada jam 5.30 petang, 31 Januari lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.