comscore
Tumpuan :
Nasional

Insiden pokok tumbang: Tindakan pantas kapten monorel selamatkan 30 penumpang

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengucapkan terima kasih kepada kapten dan kakitangan monorel yang memainkan peranan penting dalam menyelamatkan nyawa penumpang selepas kejadian pokok tumbang di landasan awal bulan ini.

Loke berkata, tindakan pantas Kapten Monorel Ahmad Zahiruddin Nordin menyelamatkan nyawa kira-kira 30 penumpang monorel berkenaan.

“Ahmad Zahiruddin begitu berhati-hati mengendalikan monorel berkenaan ketika hujan lebat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada sebarang bahaya yang mendatang.

“Dia dapat mengambil tindakan segera selepas melihat dahan pokok berkenaan menghalang landasan dan memberhentikan monorel dengan tenang dan menyelamatkan keadaan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Wisma Monorel Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Loke turut memuji Zahiruddin sebagai wira yang tidak didendang dalam insiden berkenaan.

Katanya, kakitangan monorel Prasarana Malaysia Bhd juga penting dalam membantu Zahiruddin dalam insiden itu, daripada memberhentikan pengangkutan awam berkenaan sebelum memindahkan penumpang bagi meneruskan perjalanan yang tergendala.

Pada 7 Mei lalu, empat stesen monorel membabitkan Steaen Bukit Nanas, Raja Chulan, Bukit Bintang dan Imbi terpaksa ditutup sementara selepas sebatang pokok besar tumbang dalam kejadian ribut petir kira-kira jam 2 petang di Jalan Sultan Ismail.

Insiden itu menyebabkan pemandu berusia 47 maut, manakala dua lagi mangsa cedera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini