comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Intipati Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Aidilfitri 2023

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan bersetuju melaksanakan beberapa ikhtiar khas bagi meringankan beban serta memberi kegembiraan kepada rakyat sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Berikut intipati Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Aidilfitri 2023;

1) Tol RAHMAH: Pengecualian tol selama 4 hari

 

Kerajaan bersetuju melaksanakan Tol RAHMAH Percuma iaitu pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk dinikmati oleh semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri ini. Tol RAHMAH Percuma akan bermula dari 19 April 2023 (Rabu) hingga 21 April 2023 (Jumaat) dan juga pada 24 April 2023 (Isnin).

Pelaksanaan Tol RAHMAH Percuma akan melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.

2) Diskaun khas pada pengusaha Menu RAHMAH

 

Bagi memastikan kelestarian inisiatif Menu RAHMAH, Kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih telah bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu RAHMAH pada kadar diskaun khas.

3) Kadar Khas Bayaran Saman RM50 bagi kesalahan trafik PDRM tahun 2022 dan sebelumnya

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan Kadar Khas Bayaran Saman bermula 21 April sehingga 21 Mei 2023 bagi semua saman trafik PDRM (kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya). Setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023.

4) Jabatan Penjara laksana pelepasan lebih 1,000 Orang Bebas Berlesen

Sempena Aidilfitri, Jabatan Penjara Malaysia akan melaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti). Ikhtiar ini memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta selain penghuni agama lain juga berpeluang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Pelepasan OBB ini dilaksanakan di seluruh institusi Penjara Malaysia melibatkan pelepasan lebih 1,000 OBB sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.

5) Tawaran harga simen pada kadar berpatutan untuk manfaat pemaju rumah mampu milik

Kerajaan Perpaduan sentiasa memberi keutamaan berhubung penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat. Bagi merealisasi hasrat ini lebih-lebih lagi dengan kos bahan mentah yang semakin meningkat, Kerajaan dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) serta pemaju perumahan swasta akan menawarkan harga simen pada kadar berpatutan untuk manfaat pemaju rumah mampu milik. Ikhtiar ini menumpukan kepada kategori rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah yang akan memanfaatkan golongan B40 dan M40 dengan pengurangan harga rumah maksimum sehingga RM5,000 mengikut jenis dan harga rumah.

Mengambil kira pengurangan harga simen ini berbanding harga pasaran, ia melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM120 juta insentif swasta yang telah diberikan oleh pembekal simen kepada pembeli rumah melalui pemaju perumahan. Insentif swasta ini dijangka mencukupi untuk pembinaan rumah mampu milik sehingga 24,000 unit.

6) Tambahan peruntukan RM250 juta lagi untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan

Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM250 juta lagi untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan dan kerja tersebut akan diagihkan khusus untuk manfaat kontraktor kecil Bumiputera. Maka, peruntukan penyelenggaraan berkala pavemen Jalan Persekutuan sebanyak RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 akan meningkat kepada RM 1 bilion.

7) Kerajaan setuju beri satu hari kelepasan am tambahan untuk Hari Raya Aidilfitri

 

Memandangkan pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal 1444H untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri akan dibuat pada Khamis, 20 April 2023 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat untuk membuat perancangan sewajarnya untuk Hari Raya Aidilfitri dan pulang ke kampung halaman.

Sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Jumaat, 21 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Walau bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Sabtu, 22 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan.

Bagi Sabah dan Sarawak, Kerajaan Negeri bolehlah mengisyitiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.

Loading...
Terkini