Oleh: Kumaran Rajamoney
GEORGE TOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Insitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) membentuk sinergi yang baik dengan pihak industri dalam meneroka kerjasama displin ilmu baharu melibatkan industri berteknologi tinggi.
Matlamat itu katanya penting, terutamanya dalam memastikan Malaysia terus kehadapan termasuk sebagai hab semikondouktor di rantau ini.
“Kita buat penyesuaian yang perlu dari semasa ke semasa. Tetapi cara terbaik untuk mendidik dan melatih, meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan semula adalah memastikan sinergi dan kerjasama antara industri dan institusi pendidikan berlaku.”
“Dan ini penting untuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memastikan perkara ini berjalan pada kadar yang cepat dan dengan kesediaan untuk melabur,” katanya.
Langkah ini katanya membolehkan keperluan jurutera berkelayakan dalam industri berteknologi tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC) dapat dipenuhi.
Beliau yang juga Menteri kewangan menjelaskan, Malaysia tidak berhadapan kesukaran dalam menarik pelaburan asing dari sudut dasar negara yang jelas, serta kestabilan politik.
Bagaimanapun ekosistem lain katanya, tetap mempunyai cabaran yang perlu diselesaikan dalam menarik minat pelaburan asing.
“Pastikan infrastruktur asas itu dijalankan dalam kadar yang segera. Apakah latihannya? Sama ada universiti dapat menumpukan dalam disiplin-disiplin baru dengan kadar yang cepat.”
“Jadi, ini peringatan kepada USM, UUM, dan pusat-pusat berkaitan di Pulau Pinang, universiti di Perak dan Kedah yang boleh digunakan untuk tujuan ini, adalah memastikan disiplin baru ini mesti diluluskan dengan cepat, pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” tegasnya.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) katanya, membuat beliau teruja apabila berjaya penubuhan Fakulti AI dan memulakan program itu dalam tempoh empat bulan yang menurutnya satu rekod yang luar biasa di negara ini.
Beliau berkata demikian katanya Majlis Perasmian Penang Silicon Design @5km+ di sini hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.