comscore
Tumpuan :
Nasional

Irmohizam rakyat Malaysia pertama dilantik ahli Lembaga Pengarah WTCA

Oleh : Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA : Pengarah Urusan Kumpulan, World Trade Centre  Kuala Lumpur (WTCKL) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai rakyat Malaysia pertama menjadi ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA).

Irmohizam terpilih antara 18 calon yang bertanding untuk 12 kerusi terbuka Lembaga Pengarah WTCA yang mempunyai lebih daripada 340 anggota daripada 90 buah negara di seluruh dunia.

Terdahulu, beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang menjadi Pengerusi Persidangan dan Pameran Majlis Anggota Penasihat (MAC) WTCA mengesahkan statusnya sebagai peneraju dan tokoh terkemuka dalam industri BE, dan mengukuhkan lagi kehadiran Malaysia di pentas antarabangsa.

Pemilihannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah WTCA  mencerminkan lagi sumbangan dan kepimpinan luar biasa beliau dalam industri Acara Perniagaan (BE) di peringkat global.

Melalui pengalaman dan kepakaran yang dimiliki menjadikannya seorang tokoh yang disegani dalam bidang berkenaan selain aktif berkhidmat sebagai ahli Lembaga Penasihat bagi Persatuan Penganjur & Pembekal Konvensyen & Pameran Malaysia (MACEOS).

“Ini merupakan pencapaian penting bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk Malaysia, dan ia mencerminkan kekuatan dan potensi negara kita dalam komuniti Acara Perniagaan global.

“Saya komited untuk bekerja tanpa jemu untuk membawa Malaysia ke hadapan dalam industri ini dan menjadikan kita lebih kuat sebagai salah satu pemain industri.

“Kita mampu untuk bersama-sama mencipta perkara yang hebat untuk negara kita dan komuniti perniagaan antarabangsa, ” katanya dalam kenyataan WTCA hari ini.

Sejurus pelantikan tersebut, Irmohizam telah dijemput untuk menyertai Ahli Lembaga Pengarah WTCA yang lain pada bulan hadapan di New York, Amerika Syarikat untuk menghadiri mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah WTCA yang pertama bagi sesi baru ini dan juga menghadiri WTCA Member Forum 2023.

Selain beliau, turut dipilih sebagai Ahli Lembaga Pengarah WTCA baharu adalah Vijay Kalantri (WTC Mumbai), Catherine Lee (WTC Suzhou), Christina Shen (WTC Shenyang),Vineet Verma (WTC Bengaluru),Freerk Faber (WTC Twente).

Loading...
Terkini