comscore
Tumpuan :
Nasional

Isma Aliff sering menangis, rindukan anak-anak

Oleh: Izzatie Rizan

AMPANG: “Jenguklah ayah sebelum terlambat.”

 

Itu rayuan adik kepada artis serba boleh era 80-an, Isma Aliff, Shamsidah Ismail kepada dua anak saudaranya agar melawat bapa mereka yang kini dirawat di Hospital Ampang akibat diserang angin ahmar serta jangkitan kuman pada jantung dan paru-paru.

Meskipun keadaan terkini pelakon filem Marah-Marah Sayang itu telah stabil namun sebagai adik, dia sedih melihat abangnya yang dahulunya seorang periang kini sering menangis mengenangkan zuriat sendiri.

Shamsidah 57, ditemui Buletin TV3 ketika kunjungan Karyawan di Hospital Ampang siang tadi.

Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memujuk kedua anak saudaranya itu agar datang melawat Isma, 59.

Shamsidah bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai perselisihan yang berlaku dalam keluarga abangnya itu.

“Sedih mengenangkan nasib Along, (Isma) dahulu abang saya seorang yang periang susah sangat nak menangis namun kini setiap hari menangis.

“Mewakili abang saya, dia memang rindukan anak-anaknya, serta perlukan sokongan darah daging sendiri untuk kembali sembuh.

“Apa pun yang berlaku saya tak marahkan mereka, ini semua adalah ketentuan Allah namun sebagai anak…ingatlah tanpa bapa, mereka tak ada atas dunia ini,” katanya.

Menyifatkan Isma sebagai abang sulung yang bertanggungjawab, Shamsidah berkata pelakon itulah tonggak keluarga yang menjaga ibu mereka yang kini sedang uzur.

Jelasnya, Isma sebelum ini tidak mempunyai sebarang penyakit namun takdir tertulis, dia tiba-tiba diserang angin ahmar selepas mengadu sakit kepala selain badan terasa kebas.

Sementara itu selain adik, Isma juga bertuah mempunyai rakan-rakan baik yang sering menziarahinya di hospital setiap hari.

Antaranya Jalil Bahari dan Sulaiman.

Jalil berkata, Isma adalah insan yang disenangi sahabat handai, maka sebaik mengetahui pelakon itu sedang sakit rakan-rakan baik dari Sekolah Rendah Jalan Gurney 2 pada 1971 sehingga kini tidak putus-putus melawat beliau.

“Kami semua datang nak beri sokongan moral dan sentiasa mendoakan Isma kembali sihat seperti biasa.

“Ada juga dia menangis depan saya, jadi kami akan usahakan agar anak dia datang melihat ayah mereka,”katanya.

Ketika kunjungan Karyawan siang tadi, Isma kelihatan sangat gembira bertemu dengan rakan seperjuangannya dalam dunia seni.

“Mari sama-sama kita doakan agarkan Isma Aliff segera sembuh, semangatnya memang kuat, dia dah nampak semakin baik, mungkin dengan kehadiran rakan taulan …emosinya serta kesihatannya akan semakin baik,”jelasnya.

Selain kata-kata semangat, Datuk Freddie turut menghulurkan sumbangan wang tunai dari tabung kebajikan Karyawan untuk meringankan beban yang ditanggung Isma.

Loading...
Terkini