comscore
Tumpuan :
Nasional

Ismail Sabri komited lunaskan perkara tertunggak perjanjian MA63

Ismail Sabri bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Libaran di PPR Gum Gum.

SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan beliau komited untuk menyelesaikan secara berperingkat segala perkara yang tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas MA63 berkata, usaha itu bagi memastikan setiap perjanjian termaktub dalam MA63 dapat dilunaskan demi perubahan besar, termasuk di Sabah.

Beliau berkata, banyak perkara telah dicapai menerusi Jawatankuasa Khas MA63, termasuk dalam aspek bayaran tunai petroleum daripada PETRONAS dan cukai jualan ke atas produk petroleum kepada negeri ini yang bernilai hampir RM5 bilion.

“Saya merupakan Pengerusi (Jawatankuasa Khas) MA63 yang bermesyuarat setiap bulan dengan Sabah diwakili Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor). Saya sudah memberikan komitmen bahawa segala tunggakan yang belum selesai melalui MA63, kita akan selesaikan sedikit demi sedikit.

“Ini komitmen Kerajaan Persekutuan dan saya percaya dengan apa yang kita beri melalui MA63 yang kita laksanakan, insya-Allah perubahan besar akan berlaku di Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Libaran di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gum Gum, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, serta calon BN di kerusi Parlimen Libaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Datuk Suhaimi Nasir.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu pula, Ismail Sabri berkata, beliau bermesyuarat dengan Hajiji dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, setiap bulan, untuk membincangkan perkara yang belum diselesaikan berkaitan MA63.

“Setiap bulan, kita (beliau bersama Hajiji dan Abang Johari) akan membuat ‘checklist’ (senarai semak) dari segi perkara-perkara yang belum diselesaikan lagi.

“Rancangan masa depan pun telah dibincang dengan pihak Sabah dari segi mewujudkan syarikat berkaitan penghasilan minyak (petroleum). Ini adalah supaya Sabah juga mempunyai pegangan dalam saham berkaitan penjualan minyak,” katanya.

Ketika ditanya sasaran menyelesaikan perkara tertunggak dalam perjanjian itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya tidak mempunyai sasaran spesifik, sebaliknya akan cuba sedaya upaya menyelesaikannya secepat mungkin.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan diterajui BN akan terus memberi keutamaan kepada usaha membangunkan Sabah, dan ini dapat dilihat menerusi peruntukan berjumlah RM6.3 bilion untuk negeri ini dalam Bajet 2023, yang merupakan peruntukan tertinggi di Malaysia.

Beliau berkata, peruntukan itu sebagai komitmen Kerajaan Persekutuan, antara lain bagi menambah baik kemudahan infrastruktur jalan raya luar bandar, selain menaik taraf sekolah daif dan klinik desa daif serta memperkasakan lagi pembangunan jalur lebar di Sabah melalui Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Kita akan memastikan isu sekolah daif dan klinik desa daif (di Sabah) dapat diatasi. Selain itu, dalam tempoh dua tahun, kita juga menyasar untuk menyelesaikan (masalah liputan Internet) dan 100 peratus kawasan di Sabah akan diliputi Internet 4G,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini