comscore
Tumpuan :
Nasional

Ismail Sabri pernah tolak guna kenderaan kalis peluru

Kenderaan jenis MPV yang digunakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah menolak menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan untuknya ketika menjadi Perdana Menteri Kesembilan.

Bekas Pengarah Media dan Komunikasi Strategik beliau, Datuk Ruhaidini Abd Kadir, berkata sepanjang bergelar Perdana Menteri, Ahli Parlimen Bera itu lebih selesa menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipakai pentadbiran terdahulu.

Melalui hantaran di Facebook, beliau memaklumkan, Ismail Sabri juga enggan meluluskan permohonan untuk mengubah suai pesawat khas bagi kegunaan Perdana Menteri, selain terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana.

Sehubungan itu, beliau melihat keputusan Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak menggunakan kereta jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) bukan perkara luar biasa.

“Di sebalik nama Ismail Sabri. Keputusan YAB Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak untuk menggunakan kenderaan rasmi (import) yang baharu bukan perkara luar biasa.

“Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan untuk beliau. Sepanjang bergelar Perdana Menteri, Ismail Sabri lebih selesa menggunakan kenderaan jenis MPV yang telah digunakan oleh pentadbiran terdahulu.

“Bahkan, Ismail Sabri juga enggan meluluskan permohonan untuk mengubah suai pesawat khas (Perdana 1) bagi kegunaan rasmi Perdana Menteri. Ismail Sabri juga terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana, meskipun kediaman rasmi Perdana Menteri telah indah diubahsuai,” katanya.

Terdahulu malam tadi, Anwar melalui ciapan di Twitter, memaklumkan menolak menggunakan kereta jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh JPM sebelum beliau memasuki pejabat.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil kerana beliau tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat oleh kerajaan untuknya.

Loading...
Terkini