comscore
Tumpuan :
Nasional

Ismail Sabri Terima Suntikan Vaksin

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, di ibu negeri.

Beliau menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan pada kira-kira 9.30 pagi tadi oleh vaksinator Koperal Siti Maliah Sheikh Alwi.

Ismail Sabri yang tiba kira-kira jam 9.09 pagi melalui lima stesen untuk menjalani proses vaksinasi berkenaan, termasuk melalui saringan gejala, suhu dan stesen pemerhatian selepas diberikan suntikan vaksin COVID-19.

Turut menerima suntikan pada hari ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz. 

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad turut menerima suntikan vaksin terbabit hari ini.

Dalam pada itu Datuk Seri Ismail berkata Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di kawasan operasi dan penugasan di luar negara adalah kumpulan pertama penerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dalam kalangan warga ATM.

“Mereka adalah anggota ATM yang sedang dan akan bertugas di kawasan operasi seperti Op Benteng, Op Penawar, misi pengaman Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan Pasukan Pemerhati Antarabangsa di Mindanao di bawah tentera darat, laut serta udara”, katanya. 

“Selain itu, vaksin ini juga akan diberikan kepada Kumpulan Pemerintahan Strategik dan Operasi di Markas ATM, Kementerian Pertahanan, Markas Angkatan Bersama, Markas-markas Formasi tentera darat, laut dan udara terutamanya bagi mereka yang bertugas di bilik operasi dan bilik komunikasi markas-markas itu,” tambahnya dalam satu sidang media selepas menerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. 

Loading...
Terkini