comscore
Tumpuan :
Nasional

Istana perlu jadi penimbang tara adil, tidak memihak politik kepartian – Sultan Nazrin

Titah ucapan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Penganugarhan Darjah Kebesaran negeri Perak Sempena sambutan Ulang Tahun Ke – 66 Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultanh di Istana Iskandariah Kuala Kangsar – FOTO: NSTP

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, institusi istana perlu berperanan sebagai penimbang tara secara adil, saksama, tidak memihak dan kekal mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian sebagai menghargai harapan tinggi rakyat terhadap institusi itu.

Baginda bertitah, keberkesanan sesebuah pemerintahan memerlukan tanggungjawab yang dilaksanakan secara bersama dalam semangat ‘berat sama dipikul – gunung sama didaki, laut sama diselami dan peranan institusi istana sebagai payung penyatuan kepelbagaian perlu difahami dan dilaksanakan.

“Takhta (institusi istana) perlu bertenaga, memenuhi peranan sebagai payung penyatuan, memenuhi harapan rakyat, sebagai pemangkin, mengharmonikan hubungan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

“Takhta juga wajib memperlihatkan sebaik contoh dalam memenuhi amanah Allah, dan dalam memenuhi harapan rakyat, agar kemuliaan takhta tidak tercemar, dan kedaulatan Raja tidak dipersenda.

“Sembahkan nasihat yang benar secara ikhlas, jujur lagi bertanggungjawab kepada Raja Pemerintah. Raja Pemerintah jangan dikhayalkan dengan cerita-cerita penghibur telinga hingga Raja berada dalam alam tersendiri, jauh daripada realiti keadaan kesusahan hidup yang dialami rakyat.

“Raja pemerintah wajib memahami denyut jantung dan denyut nadi rakyat jelata, satu tanggungjawab yang berat dan ianya insya-Allah dapat diringankan dengan adanya semangat nasihat menasihati, bantu-membantu dan saling memelihara nama baik dan kemuliaan takhta,” titah baginda ketika Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan baginda ke-66 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Berangkat sama pada istiadat itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta isteri, Datin Seri Aezer Zubir.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama diketuai Mej Muhammad Fariq Zainul Abidin dan dipimpin Kol Abdul Rahim Hamzah terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro Taiping.

Kawalan Kehormatan Utama diiringi pancaragam daripada Brassband KD Pelanduk yang berpangkalan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini