comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Isteri jerit minta tolong, dinding terkopak ditiup angin…

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri menyifatkan kejadian angin kencang dan ribut di ibu negara petang semalam sehingga mengakibatkan dinding bilik rumah mereka tercabut, sebagai antara yang terburuk pernah berlaku sejak 55 tahun menghuni di Perumahan Awam Loke Yew, di sini.

Mangsa Nazri Nasir, 54, yang merupakan bekas tentera berkata kejadian berlaku terlalu pantas, sehingga beliau dan isterinya tidak sempat menyelamatkan beberapa barangan peribadi seperti pakaian dan barangan perhiasan rumah, daripada turut diterbangkan angin kencang.

Menceritakan kembali kejadian 7.25 malam itu, beliau dan isterinya berada di ruang tamu dan sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Mahgrib dalam keadaan hujan lebat di luar rumah ketika itu, disusuli dengan bunyi angin yang kuat.

Foto orang awam

“Isteri saya yang masuk ke bilik selepas itu tiba-tiba menjerit meminta tolong, apabila melihat dinding bilik terkopak dan tercabut ditiup angin. Angin terlalu kuat dan kejadian berlaku terlalu pantas sehingga saya tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan beberapa barangan dalam bilik,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya selepas dinding diperbuat daripada kayu tercabut dibawa angin, air hujan mencurah-curah masuk menyebabkan barangan di dalam bilik berkenaan basah terkena tempias dan ‘banjir’.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana keadaan hujan lebat dan ribut itu tidak berlarutan serta kembali reda tidak lama selepas itu.

“Isteri saya kemudian keluar meminta bantuan daripada jiran-jiran dan Alhamdulillah saya bersyukur kerana tiada orang awam yang cedera. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah datang membaiki kediaman saya,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang hanya ingin dikenali Juliana, 36, yang merupakan jiran kepada mangsa berkata dia mendengar mangsa menjerit meminta tolong kepada jiran, ketika kejadian ribut berkenaan.

“Ketika ribut saya nampak motosikal yang diletakkan di parkir jatuh kerana angin terlalu kuat dan saya melihat papan (bilik) milik mangsa tercabut,” katanya.

Pada masa yang sama beliau berharap pihak DBKL dapat mengambil inisiatif untuk menukar semua dinding kayu di Perumahan Awam Loke Yew kepada dinding batu, atas faktor keselamatan penduduk.

Beliau berkata kejadian berkenaan bukanlah pertama kali berlaku dan kali terakhir berlaku pada 2014. – BERNAMA

Loading...
Terkini