comscore
Tumpuan :
Nasional

Isteri maut, suami cedera, kereta terbabas rempuh pokok

Anggota bomba membantu mengeluarkan pasangan suami isteri yang tersepit dalam kereta selepas terbabas dan merempuh pokok. – FOTO: NSTP/ Ihsan JBPM Melaka.

JASIN: Seorang wanita meninggal dunia manakala suaminya cedera selepas kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan terbabas merempuh pokok di Kilometer 10, Jalan Gapam-Bemban, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, mangsa, Nur Ayuni Raman maut di tempat kejadian manakala suaminya, Bustaman Ismail patah kaki dan cedera di perut.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu dalam perjalanan menghala ke Ayer Keroh.

“Kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Bustaman dipercayai hilang kawalan ketika sampai di selekoh Jalan Gapam-Bemban dan terbabas melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

“Akibat perlanggaran berkenaan, pemandu yang juga mekanik mengalami kecederaan di perut dan kaki serta dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.

“Namun, isterinya yang juga suri rumah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala oleh petugas perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Jamil berkata, punca kemalangan akibat gagal mengawal kenderaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan saksi kejadian diminta menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sepasukan tujuh anggota termasuk dua dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah terbabit dalam operasi menyelamat mangsa.

Komander Operasi Khairul Naim Abu Kasim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 8.44 pagi.

“Sejurus tiba lapan minit kemudian, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan Proton Wira terbabas di bahu jalan dan terdapat dua mangsa tersepit.

“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa dari kenderaan yang remuk sebelum diserahkan kepada petugas perubatan Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini