comscore
Tumpuan :
Nasional

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, di sini hari ini.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bakal berlangsung pada 20 Julai ini di Istana Negara.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, istiadat pertabalan itu akan diadakan pada jam 10 pagi dengan penuh simbolik dan adat istiadat Raja-raja Melayu.

Beliau yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 menyifatkan istiadat berkenaan cukup istimewa dan disaksikan sekitar lima tahun sekali.

“Istiadat pertabalan ini adalah istiadat yang penuh simbolik dan mungkin tidak selalu kita dapat saksikan, maka ini adalah peluang yang baik untuk rakyat Malaysia memahami dengan lebih mendalam dan memupuk rasa cinta terhadap institusi diraja dan bagaimana ia diamalkan di Malaysia di bawah konsep Raja Berpelembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Awang Alik Jeman dan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.

Sultan Ibrahim, 66, telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, dalam mesyuarat itu, beliau menyampaikan pandangan supaya acara-acara yang dianjurkan sempena istiadat pertabalan memberikan pengalaman tidak boleh dilupakan seperti mana yang didamba rakyat.

“Oleh itu, kita sedang menyelaras sejumlah aktiviti termasuk perbincangan dengan pihak media mengenai apa isi kandungan yang boleh kita sediakan sepanjang minggu-minggu menuju ke hari pertabalan,” katanya.

Jelasnya, kerajaan dengan titah perkenan Seri Paduka akan melaksanakan acara sempena istiadat pertabalan seperti Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 18 Julai, jam 5.30 petang di Masjid Negara manakala khutbah khas dan solat Jumaat diadakan keesokan hari di masjid sama.

Selain itu, Majlis Santapan Diraja akan diadakan pada 20 Julai, jam 10 pagi di Istana Negara, diikuti lawatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai, 9.30 pagi.

Turut diadakan, Pameran Raja Kita di Muzium Negara pada 25 Julai dan Majlis Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai, jam 3 petang di Istana Negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini