comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu air di Pangkor selesai, sedia terima pelancong semula -MB Perak

 

 Foto hiasan

LUMUT: Isu gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlaku di Pulau Pangkor, di sini sejak awal Februari lalu, kembali pulih sepenuhnya dan sektor pelancongan pulau bebas cukai itu telah bersedia menerima semula kehadiran pengunjung.

Mengesahkan perkembangan itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, masalah kebocoran di beberapa saluran paip rentas dasar laut yang menjadi punca kepada isu berkenaan sudah berjaya diselesaikan susulan langkah mitigasi yang dilaksanakan oleh Lembaga Air Perak (LAP).

“LAP juga meningkatkan bekalan air ke daerah Manjung ke paras optimum dan melaksanakan pengezonan semula bekalan di kawasan yang terlibat dengan gangguan.

“Selain itu, lori tangki air dalam mod bersedia untuk digerakkan dan tangki statik turut disediakan di lokasi strategik.

“Dalam pada itu, paras kolam air di Pulau Pangkor menunjukkan trend peningkatan positif manakala kawasan yang sebelum ini mengalami gangguan bekalan air termasuk Teluk Nipah, Teluk Dalam dan Sungai Pinang Kecil dilaporkan sudah pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penggiat pelancongan termasuk pemilik chalet dan rumah inapan yang terjejas akibat masalah bekalan air juga sudah boleh kembali beroperasi seperti biasa.

“Walaupun situasi di Pulau Pangkor sudah kembali pulih, LAP akan terus memantau kestabilan bekalan air ke kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang terutamanya sepanjang kempen Tahun Melawat Perak (TMP) 2024,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan keluhan penduduk, pengusaha sektor pelancongan serta pelancong di pulau peranginan itu yang terjejas akibat ketiadaan air beberapa hari berturut-turut hingga mendatangkan tanda tanya terhadap kesediaan Perak dalam pelaksanaan TMP 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dipetik berkata LAP melakukan pengesanan kebocoran pada saluran paip sepanjang 3.5 kilometer dari jeti Lumut ke Pulau Pangkor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini