comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu bantu rakyat miskin tidak wajar dipolitikkan, beri cadangan jika tidak setuju – PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tumpuan kerajaan ketika ini adalah menggunakan kuasa yang ada untuk membela kepentingan rakyat, terutamanya pesawah miskin.

Sekiranya ada pihak yang ingin menyanggah usaha kerajaan membantu pesawah miskin, Perdana Menteri sedia menerima sebarang cadangan dan alternatif yang lebih baik daripada mereka.

Tegasnya, isu membantu rakyat yang miskin tidak sewajarnya dipolitikkan, tetapi perlu dibuktikan dengan tindakan dan bukan sekadar laungan politik yang disulam sentimen Melayu dan Islam semata-mata.

“Kita tengok sikap pemimpin bercakap soal Melayu dan Islam berdegar-degar tetapi bila kita kata nak pulangkan sedikit kepada pesawah padi, dia nak pertahankan juga tauke besar.

“Syed Mokhtar (Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary) setuju dengan saya. BERNAS (Padiberas Nasional Berhad) boleh beri jaminan keselesaan dan keadilan kepada pesawah padi yang miskin.

“Apa yang jadi masalah sangat ini dalam negara kita? Apa yang nak dipolitikkan,” katanya dalam satu video di Facebook, yang memetik kenyataannya dalam sidang media di Kementerian Kewangan, hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata Syed Mokhtar bersetuju memperuntukkan RM10 juta untuk tahun ini dan RM50 juta pada tahun hadapan kepada golongan pesawah miskin.

Anwar dilaporkan berkata, persetujuan itu dicapai susulan teguran beliau berhubung permasalahan monopoli import beras di negara ini.

Bagaimanapun, pengumuman itu disambut dingin oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyifatkan Anwar hanya berani menegur Syed Mokhtar berbanding tokoh korporat terkaya di Malaysia yang lain kerana beliau Melayu dan mudah dibuli.

Dalam video sama, Anwar menegaskan keputusannya berhubung isu monopoli itu bukan mudah, namun dapat diputuskan hanya dalam tempoh sehari beliau memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Kewangan.

“Saya ambil keputusan dan bukan mudah kerana berdepan dengan konglomerat yang berbilion (ringgit). Ini semua syarikat yang paling kaya dalam negara kita. Tapi saya ambil keputusan dasar.

“Dia kata dia bantah. Ya, tapi maknanya empat menteri (kanan bawah kerajaan lalu) tidak ada upaya. Seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mengambil tindakan dalam masa satu hari untuk membuat keputusan,” katanya.

Beliau juga menegaskan tidak berniat merobohkan empayar Syed Mokhtar, namun teguran dan arahan kepada jutawan Melayu itu adalah usahanya mencari jalan untuk menbantu golongan petani yang miskin sejak sekian lama.

“Kalau tidak sokong tidak apa tetapi tidak perlu caci. Saya tahu di syarikat besar, bukan maksud saya nak robohkan empayar dia. Sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, (saya) cari jalan bagaimana ini boleh dilakukan.

“Ada kuasa, buat sedaya upaya. Jeritlah sekuat mana pun Melayu dan Islam tapi (jika) nasib orang Melayu yang miskin tak terbela, tidak ada makna bagi saya,” katanya.

Loading...
Terkini