comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu bapa mengamuk rambut anak digunting: Boleh diselesaikan secara harmoni – KGMMB

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang bapa mengamuk di hadapan sekolah agama gara-gara rambut anaknya digunting tanpa keizinan tidak seharusnya berlaku jika ibu bapa dan sekolah ada sikap saling menghormati dan memahami peranan masing-masing.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor berkata kejadian yang tular ini sangat mendukacitakan semua pihak memandangkan perkara itu boleh diselesaikan secara harmoni.

“Sebagai guru dan sebagai ibu bapa jugak amat berdukacita sekali dengan insiden tersebut kerana kita sebagai ibu bapa di zaman ini kita sedia maklum tentang peraturan pakaian dan rambut di sekolah.

“Jika berlaku lagi keadaan seperti ini kita rasa ada kekurangan di beberapa bahagian lagi yang perlu diperbetulkan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 di sini hari ini,

Beliau turut menggariskan tiga pendekatan penting yang boleh diambil susulan kejadian ini.

“Pertama, satu perjumpaan bersemuka antara pihak ibu bapa dan guru, di sini kita perlu mantapkan hubungan komunikasi antara kedua pihak secara bersemuka.

“Sama ada melalui perbincangan ataupun perjumpaan berkala dengan murid-murid yang kita rasakan perlu diberi perhatian.

“Ia membabitkan kes tertentu atau kes kesihatan yang perlu kita dapatkan maklumat daripada ibu bapa. Jadi saya rasa yang pertama sekali kita perlu mantapkan komunikasi bersemuka dengan murid itu,” ujarnya.

Pendekatan kedua katanya ialah mengadakan komunikasi secara teknologi kerana setiap sekolah mempunyai kumpulan WhatsApp antara kelas dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Jadi, bolehlah guru, guru kaunseling atau pihak pentadbir menghubungi dulu ibu bapa. Melalui kaedah ini mungkin dia lebih jelas sebelum boleh datang ke sekolah dan menyerang pihak guru,” katanya.

Juhari yang juga Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) berkata, perlu diambil kira juga hubungan secara bertulis.

“Pihak sekolah atau guru perlu menghantar surat kepada ibu bapa jika perlu. Ibu bapa perlu maklum mengenai apa yang sedang dirancangkan oleh pihak sekolah terhadap murid-murid yang terbabit.

“Dalam kes ini, saya berasakan mungkin ada salah faham yang mana maklumat disampaikan oleh murid itu tidak tepat sehingga menyebabkan bapa pelajar itu sanggup mengeluarkan perkataan seperti ‘kerana rambut panjang boleh masuk neraka’.

“Jadi, saya rasa untuk mengharmonikan keadaan kita perlu memantapkan hubungan dengan pihak ibu bapa melalui komunikasi. Dari komunikasi bersemuka dan teknologi serta komunikasi secara bertulis. Semoga kejadian ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Terdahulu tular seorang bapa mengamuk di hadapan sekolah agama gara-gara rambut anaknya digunting ustaz tanpa keizinan.

Guru itu berbuat demikian kerana pelajar terbabit melanggar peraturan dengan menyimpan rambut panjang.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular sejak semalam, lelaki itu datang ke sekolah dan memarahi guru di hadapan anaknya dan beberapa individu lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini