comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu bekalan telur tiada kaitan dengan PRU-15

Oleh Ain Shafiqah Zaki

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP) menegaskan tiada alasan kukuh berkenaan isu bekalan telur disorok dan kemudian dilambakkan dalam pasaran kerana Pilihan Raya Umum ke-15.

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof berkata bekalan telur masih belum stabil sepenuhnya ketika ini, malah tinjauan dan pemeriksaan pihaknya mendapati beberapa negeri masih berdepan masalah bekalan.

“Ada negeri dan kawasan di sesetengah tempat, bekalan telur masih belum pulih dan berkurangan. Justeru, dakwaan bekalan sudah pulih adalah tidak berasas,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sidang media.

Beliau juga berkata pemantauan di peringkat peruncitan masih giat dijalankan untuk menyemak keadaan semasa bekalan telur.

Tambahnya, pihak KPDNHEP sendiri akan menghubungi pengeluar jika berlaku keputusan bekalan telur dan mereka akan menggesa untuk menghantar bekalan secepatnya.

Mengulas mengenai kenaikan harga telur, KPDNHEP berpendapat bahawa orang ramai perlu memahami kos bukan melibatkan pengeluaran sahaja tetapi melibatkan beberapa faktor seperti cuaca, banjir, penyakit dan sebagainya.

Berhubung dakwaan telur busuk dan rosak yang dijual di pasaran, Azman berkata, beliau turut menerima aduan, namun tiada bukti diperoleh selepas pemeriksaan dijalankan.

Beliau dalam pada itu menyeru pengguna untuk segera menyalurkan sebarang aduan terperinci jika ada isu berbangkit supaya tindakan segera boleh diambil.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program ‘Sihat Ke Saya?’ anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia, PUSPANITA, cawangan KPDNHEP di sini hari ini.

Loading...
Terkini