comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Isu berlaku sebab salah faham, lebih baik JAKIM beri penjelasan’ – Teresa

Foto fail NSTP

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa kontroversi berhubung pensijilan halal berpunca daripada salah faham pelbagai pihak.

Menerusi posting yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, beliau turut menyerahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai pihak selayaknya untuk membuat penjelasan mengenai isu berkenaan.

“Nampaknya kontroversi pensijilan halal ini berlaku atas sebab salah faham daripada pelbagai pihak.

“Saya rasa adalah lebih baik bagi JAKIM untuk memberi penjelasan mengenai isu ini,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden DAP itu menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi di Parlimen.

Pada mesyuarat itu, JAKIM dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) turut dijemput memberi pembentangan mengenai usaha mereka untuk mempromosi pensijilan halal.

Yang turut hadir, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah JAKIM dan En Mohd Zamri Mohamed, Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia JAKIM.

“Sirajuddin berkata mereka datang ke Parlimen selepas memberi keterangan kepada pegawai polis di Bukit Aman berkenaan kontroversi pensijilan halal yang membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan saya,” katanya.

Teresa berkata, mesyuarat jawatankuasa berkenaan dengan usaha pensijilan halal itu dijalankan dalam suasana yang mesra.

Isu pensijilan halal menjadi polemik selepas media sebelum ini melaporkan, Teresa berkata, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Beliau dilaporkan mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan untuk memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, bahawa JAKIM sedang mengkaji cadangan mewajibkan restoran serta syarikat makanan untuk memiliki sijil halal.

Loading...
Terkini