Tumpuan :
Nasional

Isu buli di UPNM, FashionValet antara isu tumpuan Dewan Rakyat hari ini

FOTO: Ihsan Parlimen

KUALA LUMPUR: Usaha menoktahkan buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta faktor kegagalan pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam syarikat FashionValet Sdn Bhd (FV) menjadi antara isu tumpuan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, isu buli di UPNM dibangkitkan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan usaha dan kaedah yang sedang dilakukan oleh kementerian bagi memastikan gejala buruk itu dinoktahkan.

Sementara itu, soalan berkenaan faktor menyebabkan kegagalan pelaburan Khazanah dan PNB dalam syarikat FV dikemukakan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) kepada Menteri Kewangan.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) pula bertanyakan kepada Perdana Menteri tentang kesediaan kerajaan menerima pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perundangan dan perkhidmatan undang-undang dalam negara.

Pada sesi soal jawab lisan, Lim Lip Eng (PH-Kepong) mahu Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah program berasaskan komuniti dikaji sebagai alternatif kepada penahanan kanak-kanak bawah umur yang ditahan atas kesalahan imigresen dan adakah program yang sama boleh dikaji bagi banduan yang telah habis menjalankan dua pertiga daripada tempoh hukuman penjara mereka.

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh (PN-Pasir Puteh) pula meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menjelaskan perancangan jangka sederhana dan panjang dalam memastikan kelestarian sektor peladangan sawit yang kini hampir mencecah limitasi keluasan tanah ladang iaitu 6.5 juta hektar.

Selepas selesai sesi soal jawab lisan, persidangan diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh menteri daripada setiap kementerian terbabit.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini