comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Isu dana RM600 bilion: SPRM minta tampil serah maklumat 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat mengenai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara berjumlah RM600 bilion untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat untuk menyerahkan maklumat tersebut.

Ini termasuk bukti atau dokumen yang berkaitan dengan dakwaan berkenaan.

SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan beberapa pihak berkaitan penyelewengan wang terbabit.

“SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan profesional dari semua sudut berkaitan isu ini.

“Sekiranya perlu, SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen tersebut,” kata kenyataan itu.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Pada hari sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar kerajaan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan di bawah pentadbiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebelum ini.

Sehari sebelum itu, bekas Perdana Menteri itu pada sidang media selepas menyampaikan ceramah Grand Finale PN sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai mahu Anwar menyiasat isu berkaitan dana tersebut dengan betul dan mendapatkan data sebenar sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lalu.

Sementara itu, beberapa media tempatan semalam melaporkan bahawa SPRM akan memanggil Muhyiddin, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk memberi keterangan mengenai kes sama.

Tengku Zafrul hari ini mengesahkan belum dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan berhubung salah guna dana RM600 bilion itu.

Menerusi catatan di akaun Twitternya, Tengku Zafrul berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh jika dihubungi oleh pihak SPRM.

“Tiada apa yang nak disorokkan. Setakat ini, SPRM belum menghubungi saya. Sekiranya dihubungi, saya akan beri kerjasama penuh,” katanya.

Loading...
Terkini