comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Isu DNAA Zahid Hamidi cetus kekecohan di Dewan Rakyat

 

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pagi ini kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit mempersoal tindakan Speaker, Tan Sri Johari Abdul yang menolak usul tergempar dibawa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) semalam.

Jumaat lalu, Wan Ahmad Fayhsal membawa usul tergempar berkenaan dan meminta sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat bagi memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah berkait Yayasan Akalbudi.

Beberapa wakil pembangkang termasuk Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bangkit selepas diberi ruang oleh Timbalan Speaker, Datuk Ramli Md Nor, menyebabkan aturan asal mesyuarat tertangguh sehingga setengah jam.

Rata-rata mendakwa ketika Speaker mempengerusikan sidang Dewan Rakyat semalam, berjanji untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen bagi memberi penjelasan terhadap isu mahkamah dihadapi Ahmad Zahid, namun ia tidak ditunaikan.

Usul terbaharu itu dikemuka semula Tan Sri Shahidan Kassim kepada Speaker Dewan Rakyat

Justeru, Ahli Parlimen pembangkang menuntut supaya usul berkaitan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi dibahaskan.

Usul terbaharu itu dikemuka semula Tan Sri Shahidan Kassim kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, di bawah peraturan mesyuarat 18(1) selepas usul sama dikemuka Wan Ahmad Fayhsal Jumaat lalu itu ditolak semalam.

“Saya sudah bawa semula usul itu bersama Machang, kenapa (usul) 18(1) perlu disegerakan untuk kepentingan orang ramai. Kami rasakan ianya perlu dibincangkan sebab semua rakyat Malaysia membuka mulut.

“Parti politik membuka mulut. DAP membuka mulut. Termasuk parti MUDA, PKR serta peguam kanan di negara ini juga membuka mulut supaya Peguam Negara bagi penjelasan mengapa kes ini digugurkan,” katanya di Dewan Rakyat pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya hanya mahukan supaya Peguam Negara memberi penjelasan terhadap hala tuju kes berkenaan, sekali gus menolak dakwaan ramai pihak seolah-olah kerajaan campur tangan dalam kes itu.

“Penolakan yang dibuat Speaker (Johari) semalam juga bukan alasan. (Alasan) penolakan dibuat Speaker semalam kerana ketua majlis minta supaya perkara ini tak masuk dalam senarai.

“Sepatutnya Speaker memberi alasan mengapa dia menolak peraturan mesyuarat 18(1),” jelasnya.

Perkara dibangkitkan Shahidan itu kemudian disambut beberapa lagi Ahli Parlimen pembangkang yang terus mendesak supaya Speaker menunaikan janjinya untuk membenarkan isu itu dibahaskan dalam dewan.

“Semalam, Kami sudah berbincang dengan Speaker, beliau sudah memberi kelonggaran untuk dibahaskan selepas pembentangan RMK12. Tapi Speaker mungkir janji kepada kami,” kata Wan Ahmad Fayhsal.

Turut bersuara, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang kini duduk di blok pembangkang dan beranggapan bahawa perkara itu bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

Bahkan, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) turut memuji tindakan Ahli Parlimen Muar itu yang menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan.

Loading...
Terkini