
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Ke-15 Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi berhubung langkah yang akan diambil jawatankuasa itu ke arah pencerahan isu keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) beliau.
Ia susulan kenyataan Pengerusi JKPK, William Leong Jee Keen, yang juga Ahli Parlimen Selayang, semalam bahawa jawatankuasa itu akan memanggil Peguam Negara bagi memberi penjelasan berhubung DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.
“Apa yang dicadangkan YB William itu sebagai Pengerusi JKPK itu adalah pengumuman yang dilakukan pada sidang khas membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12).
“Kita serahkan kepada jawatankuasa itu untuk melakukan langkah ke arah pencerahan isu berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pavilion Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.