
KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyeru kerajaan menilai dan menimbang semula pendiriannya terhadap cadangan kenaikan kadar elaun tugas atas panggilan (on-call).
Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz, berkata penolakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap cadangan menaikkan kadar elaun daripada RM9.16 setiap jam ketika ini kepada RM25, sebagai tidak sensitif dan tidak cekap.
“Maklum balas kementerian yang menyatakan bahawa RM9.16 adalah kadar yang ‘sesuai’ adalah satu penghinaan, bukan saja kepada doktor tetapi semua petugas kesihatan di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertentangan dengan penjelasan kerajaan sebelum ini, Dr Azizan menjelaskan kadar dibayar itu adalah untuk 24 jam bekerja dan ia tidak akan diberi sekiranya doktor tidak bekerja.
Justeru, katanya elaun RM220 perlu dibahagikan dengan 24 jam.
Beliau juga menegaskan, kriteria pemilihan tetap adalah terlalu umum dan tidak mempunyai sistem penarafan yang telus untuk penilaian oleh doktor.
Katanya, MMA turut melahirkan kebimbangan mengenai maklumat tidak tepat diberikan kerajaan, yang membawa kepada persepsi salah orang ramai terhadap isu itu.
Dr Azizan menjelaskan, tidak semua doktor perubatan awam layak mendapat elaun berkenaan, dengan kelayakannya juga bergantung kepada jawatan dan pangkat mereka.
“Kebanyakan doktor tidak menerima elaun sedemikian, seperti yang dinyatakan dalam jawapan kerajaan,” katanya.
Beliau juga membangkitkan kebimbangan mengenai kemerosotan sistem penjagaan kesihatan awam, susulan peningkatan sebanyak 1,131 pegawai perubatan kontrak yang mengambil keputusan meletak jawatan dari 2017 hingga 2022.
Selain itu, katanya 890 pakar turut meletak jawatan daripada perkhidmatan kerajaan antara 2018 dan 2022, dengan purata lebih daripada empat pakar meninggalkan tugasnya setiap minggu dalam tempoh berkenaan.
“Kekecewaan di kalangan doktor perubatan adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan. Ini membimbangkan, di samping keletihan dialami ramai doktor, gaji yang diperoleh masih rendah, isu seperti elaun tugas atas panggilan yang tidak menentu ini mungkin menambahkan lagi kekecewaan mereka.
“Doktor perubatan tidak menikmati sebarang kenaikan elaun tugas atas panggilan ini selama lebih sedekad. Mengambil kira inflasi, kadar elaun ini harus dikaji semula setiap lima tahun.” katanya.