comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu GISBH: Kerajaan bentang tiga kertas kerja di Dewan Rakyat – Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman menghadiri Karnival Literasi Undang-Undang di Dewan KEJORA, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.-Foto: NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PETALING JAYA: Kerajaan akan membentangkan tiga kertas kerja membabitkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pembentangan itu melibatkan tiga kementerian terdiri daripada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Mungkin Menteri Agama akan bentang dari aspek akidah, Menteri Dalam Negeri dari segi pelanggaran undang-undang dan Nancy akan bercakap tentang isu yang berlaku serta bantuan kepada yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Karnival Literasi Undang-Undang di Kota Tinggi, Johor hari ini.

Mengulas lanjut, sesi pembahasan akan diteruskan oleh Ahli Parlimen sebaik sahaja kesemua kertas kerja itu dibentangkan.

“Ini sangat penting (kerana) dalam komen media sosial, ada yang (menyatakan) seolah-olah kerajaan bertindak berlebihan (over react) dan saya melihat Ahli Parlimen sebagai wakil rakyat dan yang terbaik untuk membahaskan pandangan mewakili rakyat dalam hal ini.

“Saya harap semua Ahli Parlimen dapat berikan pendapat, pandangan dan cadangan,” katanya.

Tambahnya, sesi berkenaan juga akan menjadi penentu sama ada isu berkaitan GISBH memerlukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk diwujudkan atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Azalina memaklumkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) sudah memadai namun penggunaan Seksyen 19 pada akta berkenaan tidak digunakan sepenuhnya.

“Seksyen 19 adalah sebagai pemakaian utama iaitu tidak melaporkan, yang mana ada orang sekeliling tidak melaporkan dan ia ialah satu kesalahan dalam akta jenayah seksual kanak-kanak,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini