comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu HRD Corp: KESUMA serah laporan kepada SPRM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, laporan itu mengandungi isu-isu yang dibangkitkan Ketua Audit Negara dan maklum balas kementerian serta agensi terbabit.

“SPRM telah memberi jaminan bahawa satu siasatan adil dan penuh profesional akan dilaksanakan segera,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya bagi serahan laporan tersebut sekitar jam 11 pagi.

Mengulas lanjut, menurut Datuk Khairul Dzaimee, tindakan membuat laporan itu selaras dengan syor dikemukakan Ketua Audit Negara supaya KESUMA membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan termasuk arahan daripada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Terdahulu, Steven dalam kenyataan hari ini memaklumkan, beliau mengambil serius laporan tersebut dan mengarahkan KESUMA serta HRD Corp untuk memberikan kerjasama penuh kepada JAN dan PAC, selain menegaskan pihaknya tiada halangan sekiranya mana-mana agensi berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut.

Semalam, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilapor berkata, matlamat penubuhan syarikat adalah bagi pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan dan pembangunan kerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang.

Sementara itu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang diumumkan semalam juga mengesyorkan KESUMA merujuk kepada agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung ketidakteraturan yang dikenal pasti terhadap pengurusan HRD Corp.

LKAN turut mendapati HRD Corp mempunyai kelemahan pengurusan dalam melaksanakan operasi dan aktiviti syarikat mengikut tatakelola dan peraturan ditetapkan hingga agensi itu belum mencapai objektif penubuhannya, termasuk petunjuk utama prestasi (KPI) 2023 dan pindaan indikator KPI tidak diluluskan lembaga pengarah.

Ditanya sama ada pegawai HRD Corp digantung tugas sementara siasatan dibuat susulan penemuan laporan terbabit, jelasnya, tidak ada mana-mana individu daripada agensi berkenaan dikenakan tindakan tersebut.

“Tidak ada (yang digantung tugas). Sekiranya ‘domestic inquiry’ (siasatan dalaman) diwujudkan (barulah) pegawai digantung sementara.

“Oleh kerana ini siasatan oleh SPRM, tidak perlu mana-mana pegawai ditahan tugas atau digantung sementara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini