Tumpuan :
Nasional

Isu judi dalam talian, penipuan telekomunikasi akan dibincang dalam Mesyuarat AMM

Datuk Seri Mohamad Hasan Ketika hadir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini. FOTO: NSTP

LANGKAWI: Tawaran Kerajaan China membantu negara ASEAN membanteras kegiatan perjudian dalam talian rentas sempadan dan penipuan telekomunikasi akan dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, isu itu dijangka menjadi antara agenda tumpuan dalam pertemuan menteri luar serantau.

Jelasnya, negara ASEAN perlu bekerjasama dalam menangani isu berkenaan selepas Kerajaan China bersedia membantu rantau ini.

“Kami akan membincangkannya (tawaran China) esok. Hari ini hanya lawatan hormat, di mana kami berbincang secara umum tentang cara terbaik untuk memperkukuh hubungan dalam keluarga ASEAN.

“Melihat kepada situasi geopolitik dan geoekonomi global sekarang, adalah satu kerugian jika ASEAN tidak bersatu. Sebab itu kita memilih inklusif dan kelestarian sebagai tema kerana kita perlu bergerak bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar Thailand, Maris Sangiamponsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.

Terdahulu Mohamad mengulas kenyataan Menteri Luar China, Wang Yi, di Beijing semalam, bahawa China bersedia bekerjasama dengan negara ASEAN dalam memerangi jenayah perjudian dalam talian rentas sempadan dan penipuan telekomunikasi.

Wang Yi dalam pertemuan bersama diplomat dari 10 negara ASEAN di Beijing dilaporkan berkata akan menekankan insiden berkaitan jenayah perjudian dalam talian dan penipuan telekomunikasi di sempadan Thailand-Myanmar, yang turut menjadi ancaman kepada rakyat China.

Beliau turut menyatakan kesediaan China meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan negara ASEAN bagi mewujudkan persekitaran selamat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini