comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu kupang beracun di PD masih dipantau Jabatan Perikanan

PORT DICKSON: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) masih lagi memantau rapi isu pencemaran kupang di perairan pantai Port Dickson sejak April lalu.

Exco Kanan dan juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sampel kupang diperoleh dari semasa ke semasa untuk dijalankan ujian klinikal, termasuk keputusan ujian terkini yang diperoleh, hari ini.

“Hasil ujian makmal terkini yang dilakukan mendapati kupang di perairan pantai Port Dickson mempunyai kandungan biotoksin sebanyak 498 per bilion (ppb) dan ini adalah ali pertama kandungan biotoksin di bawah 800 ppb selepas hampir lapan sampel diambil sebelum ini dan mengikut kaedah analisis (Detection of Paralytic Shellfish Poisoning – PSP).

“Saya sudah mengarahkan DOF Negeri Sembilan untuk menjalankan satu lagi analisis identifikasi jenis plankton sebelum sebarang keputusan membenarkan pengambilan kupang diumumkan kepada orang ramao,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

April lalu, DOF mengesahkan kupang dari perairan Port Dickson khususnya di Kampung Telok dan Sungai Sekawang di Pasir Panjang dicemari biotoksin dan tidak selamat dimakan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, ia berdasarkan analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur yang mendapati terdapat alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia pada kupang yang diambil sampel di perairan pantai daerah itu.

Selain kupang, DOF mensihatkan orang ramai supaya tidak mengambil kerangan seperti lala, kerang dan lokan di Port Dickson selain pihaknya tidak membenarkan kerangan itu dijual dan dipasarkan dalam pasaran awam.

Jalaluddin berkata, berdasarkan perkembangan semasa, beliau yakin kupang di perairan pantai Port Dickson akan kembali selamat untuk dimakan tidak lama lagi.

Justeru, katanya sebagai langkah awal, beliau sudah meminta DOF Negeri Sembilan merangka pelan galakan pemasaran dan promosi pengambilan kupang atau bahan makanan berasaskan kerang-kerangan (dwicangkerang), untuk dilaksanakan apabila ujian makmal mendapati ia selamat digunakan kelak.

“Pihak DOF Negeri Sembilan akan menyelaras setiap pelan galakan pemasaran dan promosi itu bersama-sama jabatan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

“Namun, pada masa ini, Kerajaan Negeri Sembilan menasihati semua pengguna agar terus mematuhi arahan pihak berkuasa dengan tidak memungut dan memakan hasil dwicangkerang dari perairan pantai Port Dickson yang sehingga kini kandungan biotoksin berada di bawah paras bahaya,” katanya.

Loading...
Terkini