KUALA TERENGGANU: 2,400 papan telur ayam habis dijual dalam tempoh tiga jam!
Masalah kekurangan telur ayam masih berlaku di daerah ini apabila bekalan yang diperoleh pemborong habis dijual dalam masa singkat.
Tinjauan di syarikat pemborong telur di Cabang Tiga, di sini mendapati hanya telur ayam kampung sahaja yang ada.
Pengurus syarikat pemborong, Nursyzanil Adha Ramli, berkata pihaknya ada menerima 2,400 papan sahaja pagi tadi dan habis dijual pada jam 11.15 pagi.
Katanya, Jumaat lalu adalah hari terakhir pihaknya menerima bekalan dengan kuantiti sama.

Namun, ia juga tidak bertahan lama apabila diserbu pelanggan yang sudah beratur sebelum kedai dibuka.
“Berbanding sebelum ini, kita menerima bekalan telur ayam 5,000 papan, namun sekarang hanya diberi 2,400 papan sahaja.
“Saya tidak tahu dan tidak berani berjanji bila bekalan baharu akan diperoleh. Saya sudah membuat tempahan dan hanya menunggu bekalan sampai,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Nursyzanil berkata, pihaknya terpaksa mengehadkan jualan tiga papan seorang bagi membolehkan semua yang beratur memperoleh telur ayam.
Katanya, isu kekurangan telur ayam berlaku seminggu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini dan berlarutan hingga sekarang.