comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu latihan penerbangan: MARA nafi tidak ambil tindakan, jaga kebajikan 39 pelajar

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Oleh: Nurul Amalina & Fahmi Tajuddin

KUALA LUMPUR: Tuduhan tidak berjuang bersama-sama pelajar bukan di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), berhubung isu penyelewengan sebuah syarikat yang menyelaras latihan penerbangan di Republik Czech adalah tidak wajar.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, fokus institusi itu adalah untuk menjaga kebajikan 39 pelajar di bawah tajaan MARA.

“Saya memahami keresahan dan kesedihan mereka akibat ditipu syarikat berkenaan sebagaimana MARA pun mengalami nasib yang sama tetapi nak tuduh MARA tidak berjuang bagi pihak mereka adalah tidak wajar ditimbulkan kerana MARA tidak ada apa-apa kaitan dengan mereka.

“MARA hanya memfokuskan kepada pelajar-pelajar di bawah tajaan kami seramai 39 orang, dan telah pun mengambil tindakan sewajarnya termasuk tindakan undang-undang terhadap syarikat terbabit,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Mengulas lanjut, MARA juga turut mengalami nasib yang sama apabila dana tajaan mereka dipercayai diseleweng, selepas dimaklumkan terdapat tunggakan kos pengajian.

Bagaimanapun bagi memastikan pelajar di bawah tajaan mereka dapat menamatkan pengajian, MARA terpaksa menambah peruntukan baharu sebanyak RM2.4 juta.

“Pada masa yang sama, kita pastikan pelajar-pelajar kami yang ikuti program ini dapat habiskan (pengajian), dan alhamdulillah mereka dah pun tamatkan, walaupun atas kertas MARA kerugian RM2.4 juta kerana terpaksa bayar dua kali,” ujarnya.

Katanya lagi, tindakan undang-undang telah pun diambil ke atas syarikat terbabit sejak 2022 dan masih lagi berjalan.

“Sebab itulah dalam konteks ini MARA ambil tindakan undang-undang untuk tuntut ganti rugi dan mendapatkan kembali jumlah itu yang kita bayar untuk pastikan pelajar di bawah MARA ini dapat tamatkan pengajian mereka.

“Kami melihat soal kebajikan pelajar tidak boleh dikompromi tapi pada masa yang sama soal penyelewengan dana yang dilakukan oleh syarikat terbabit mesti diambil tindakan mahkamah secara tegas.

“Tidak timbul soal kita tidak ambil tindakan, mana boleh kita tak ambil tindakan, ini melibatkan wang rakyat, saya akan memantau secara dekat supaya wang sejumlah RM 2.4 juta wang MARA yang telah disalurkan kepada syarikat tersebut akan dapat kita tuntut kembali,” katanya.

Memetik laporan media terdahulu, kira-kira 50 bakal juruterbang dan keluarga di negara ini mengalami kerugian besar apabila yuran pengajian mereka didakwa diseleweng sebuah syarikat yang menyelaras latihan penerbangan di Republik Czech.

Hal ini menyebabkan mereka kerugian jutaan ringgit secara keseluruhannya, selain pelajar-pelajar tidak dapat menamatkan pengajian dan tidak mendapat lesen penerbangan, seperti yang sepatutnya.

Bagaimanapun segelintir keluarga pelajar didakwa tidak berpuas hati dan melahirkan kekecewaannya kerana MARA tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat itu.

Menurut mereka, jika organisasi sebesar MARA campur tangan, ia akan memberikan lebih keyakinan kepada ibu bapa pelajar yang membiayai sendiri pengajian, untuk memperkukuh kes mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini