comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu mansuh pencen penjawat awam, hentikan andaian negatif – Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR: Semua pihak diseru agar menghentikan andaian negatif terhadap cadangan kerajaan berkaitan pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam.

Sebaliknya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, semua pihak perlu menunggu pengumuman rasmi dibuat kerana mungkin apa yang akan diputuskan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti menjanjikan suatu yang lebih baik untuk penjawat awam.

“Kajian menyeluruh impak SSPA (Skim Saraan Penjawat Awam) yang akan diumumkan adalah suatu yang wajar kita dengar sebelum buat andaian yang membawa pelbagai persepsi negatif.

“Kita belum dengar lagi (pengumuman itu) mungkin ia lebih baik atau sekurang-kurangnya setanding. Sekarang kerajaan sedang jalankan kajian,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) bertanya mengenai isu pemansuhan pencen penjawat awam, yang mana ujarnya di sebalik langkah kerajaan menghapuskan skim pencen bagi penjawat awam dijangka memberi impak besar kepada tiga sektor utama iaitu keselamatan, kesihatan dan pendidikan.

Dr Dzulfefly berkata, hal berkaitan lantikan tetap adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), manakala dasar berkaitan hal pencen ditentukan kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri.

Sebelum ini, Kabinet dilaporkan bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan yang baharu dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

JPA Awam ketika ini sedang menerajui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) yang akan menjadi dasar baharu kerajaan khususnya berkaitan kaedah berpencen penjawat awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini