Tumpuan :
Nasional

Isu pakaian jururawat: KKM tunggu laporan penuh analisis sampel kain

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum menerima keputusan analisis sampel kain pakaian seragam jururawat yang didakwa tidak mematuhi spesifikasi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, siasatan terperinci masih dijalankan oleh Jabatan Kimia dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) terhadap kain pakaian seragam jururawat yang dikatakan menyamai kain kafan.

Dr Dzulkefly berkata, beliau akan membentangkan hasil analisis kepada pengurusan tertinggi KKM sejurus menerima maklumat lengkap mengenainya.

“Keputusan mutakhir belum ada pada saya atau pengurusan tertinggi KKM di Putrajaya.

“Saya yakin mereka (Jabatan Kimia dan Sirim) akan beri dapatan dalam masa terdekat dan jangan bimbang, apabila sudah ada dapatan analisis itu, saya akan membuat hebahan menerusi kenyataan akhbar atau sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Madani Afiat Peringkat Wilayah Sarawak Tahun 2024, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai siasatan KKM terhadap aduan jururawat mengenai kualiti kain kurang baik yang dibekalkan sebuah syarikat untuk pakai seragam jururawat bernilai lebih RM98.3 juta.

Dalam laporan itu KKM menjelaskan sudah menghantar sampel kain yang dikatakan tidak mematuhi spesifikasi kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.

KKM turut menjelaskan, sekiranya bekalan pakaian seragam iaitu kain yang diterima didapati tidak mematuhi spesifikasi, syarikat terbabit boleh dikenakan tindakan selaras kontrak yang sedang berkuat kuasa.

Pada 23 Oktober lalu, media melaporkan Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) mengakui menerima maklum balas mengenai kain yang dibekalkan untuk pakaian seragam jururawat sedikit keras serta tidak selesa dipakai ketika bekerja.

Perkara itu dimaklumkan Presidennya, Saaidah Athman namun tidak mengulas mengenai perkara itu termasuk berhubung dakwaan kain dibekalkan untuk pakaian seragam jururawat menyamai kain kafan.

Dr Dzulkefly berkata, beliau memahami kemaslahatan umum terutama yang berkaitan dengan jururawat.

Justeru beliau memberi jaminan setiap dakwaan itu ditangani dengan sebaiknya dan beliau yakin akan mendapat keputusan muktamad dan tuntas.

“Ketika ini saya belum mendapat butiran secara spesifik (mengenai analisis) dan saya tidak mahu buat persepsi.

“Sebagai menteri, saya harus bertanggungjawab, tetapi kena bersabarlah, saya juga mahu perkara ini diselesaikan segera,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini