comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu ‘parking’ PPR belum temui jalan penyelesaian? 

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Isu lambakan kereta hingga menyebabkan kesesakan di kawasan perumahan terutama di Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) terus membelenggu penduduk setempat.

Walaupun ada jalan penyelesaian diberi Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) yang menyediakan kawasan tempat letak kereta khas, ia bagaimanapun didakwa penduduk perlu disewa dengan kadar yang tinggi.

Justeru Buletin TV3 meninjau ke PPR Desa Bandar Tun Razak, ibu negara.

Hasil pemerhatian mendapati, masih banyak kenderaan diletakkan secara bertindih sekaligus menyebabkan jalan di kawasan ini menjadi semakin sempit.

Selain itu ada juga kereta buruk dan tidak terpakai dilihat berada di kawasan yang terhad itu.

Walaupun bangunan parkir bertingkat telah disediakan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun ia dilihat tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh penduduk.

Dakwa penduduk tempat letek kereta khas berkenaan disewa pada kadar antara RM30 hingga RM100 mengikut tingkat parkir.

Sedangkan kadar sewa bagi sebuah rumah PPR kira-kira RM124 sebulan.

“Macam ini la keadaan dia sekarang, parking walaupun ada disediakan kebanyakan tapi orang banyak tak ambil lagi. Sana berkira, sini tidak berkira bayaran bulan dia.

“Pakai nama owner rumah dan geran kereta dapat RM30 dan lain daripada tu dapat RM50.. atas lagi murah? Ya macam itu. itu yang pelik kenapa nak bezakan atas bawah semua,” kata penduduk, Lizawati Ngah.

“Salah satu sebab bayaran. Setiap tingkat tu lain bayaran. Kedua, macam sebelum ini adik saya daftar dan sampai sekarang tiada diberitahu dapat atau tidak.” kata penduduk, Wazir Maulana.

Sementara itu isu lambakan kenderaan dan kekurangan parkir di kediaman PPR ini turut diakui penduduk di Batu Muda yang tidak mempunyai bangunan parkir bertingkat.

Akibatnya ada antara mereka terpaksa parkir di jalan raya utama sehinggakan ada segelintir kenderaan mereka disaman oleh pihak berkuasa.

Terdapat segelintirnya, cermin kenderaan dipecah oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Memang la sempit nak tolak-tolak kereta, semua tempat sama la kata kena tolak kereta. Parking dalam sudah, parking luar, dalam parking tolak-tolak kereta patah number plate, tepi jalan ni pun penduduk dah dalam penuh. sini pun banyak pecah kereta payah lah. malam2 gelap pula sini. Risau.” kata penduduk, Maznah Musa.

“Parking takda banyak kita punya blok dia punya tepi sangat sempit. Kalau buat lima tingkat parking lagi bagus, kita pun senang .” kata penduduk, Selvaratnam Arumugam.

“Perkara ini telah diadukan kepada pihak DBKL di mana kita ada memohon seperti PPR yang lain juga di mana memohon kawasan letak kenderaan bertingkat.

“Untuk membina ini pun kita sedih, pasal apa permohonan untuk prasarana ini diberi keutamaan bagi pihak pemerintah. Di mana sebelum ini saya dah mohon 3 kali bila tukar pucuk pimpinan politik dorang bagi sebab itu.

“Ini tidak munasabah bagi diri saya. Sesiapa yang memerintah untuk rakyat mereka harus teruskan, sepatutnya tak patut kita rayu semula.” ujar Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Batu Muda, Redzuan Hanafi.

Loading...
Terkini