Tumpuan :
Nasional

KPM akan siasat murid, pelajar rentas Sungai Golok untuk ke sekolah di Malaysia

Oleh Mas: Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyiasat aktiviti merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram yang melibatkan hampir 500 murid serta pelajar dari Thailand setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana jumlah yang dilaporkan itu tinggi dan tidak seharusnya terjadi sekiranya mereka warga Malaysia.

“Kalau anak-anak ini adalah warganegara Malaysia, sepatutnya dia bersekolah dalam Malaysia dan tidak timbul isu dari segi keselamatan mereka untuk menyeberangi sungai itu.

“Tetapi kita akan siasat dan ambil maklum mengenai perkara ini kerana bilangan yang didakwa itu sangat tinggi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pembukaan cawangan kedai buku ternama di Putrajaya, hari ini.

Fadhlina menegaskan, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana pelbagai kemudahan sudah disediakan kerajaan untuk murid dan pelajar rakyat Malaysia.

“Dari segi akses pendidikan, kita sudah sediakan semuanya di peringkat Kementerian Pendidikan.

“Jadi saya akan ambil perkara itu untuk disiasat dengan lebih teliti supaya tidak berlaku perkara terbabit, kerana anak-anak kita yang warga Malaysia memang disediakan sekolah dan isu terbabit tidak sepatutnya berlaku di peringkat warga Malaysia, ini anak-anak kita,” ujarnya.

BH hari ini melaporkan hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan beberapa pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini