comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Isu penyelarasan pencen, Mindef tunggu keputusan mahkamah

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada sidang media Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) tahun 2024 di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI: Kementerian Pertahanan (Mindef) menyerahkan kepada Mahkamah Rayuan dalam penentuan penyelarasan pencen membabitkan anggota dan pegawai yang berpencen sebelum 2013.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata isu penyelarasan pencen itu bukan sahaja membabitkan bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi turut membabitkan bekas hakim dan bekas kakitangan awam kerajaan.

Katanya ketiga-tiga golongan telah mengemukakan saman masing-masing terhadap kerajaan Malaysia bagi permohonan sama.

“Kita telah mendapat jadual, mahkamah putuskan pada tahun depan (Januari) akan ada bicara rayuan terhadap tindakan rayuan dibuat oleh kerajaan, Mindef dan Peguam Negara,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, kerajaan berpendirian isu penyelarasan pencen perlu membabitkan semua bekas kakitangan awam dan bukan dipecahkan kepada kumpulan tertentu seperti bekas hakim, bekas tentera dan bekas kakitangan lain.

Mohamed Khaled berkata demikian pada sidang media Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) tahun 2024 kepada 475 veteran dan wakil veteran di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Mohamed Khaled berkata isu hanya membabitkan anggota yang pencen sebelum 2013.

Selepas dari tarikh itu, tiada isu timbul.

“Dasar ini dikenakan bukan hanya kepada tentera, tetapi juga kepada kakitangan kerajaan dan bidang kehakiman iaitu hakim-hakim. Ketiga-tiga golongan ini sudah ambil tindakan mahkamah, sama ada bekas hakim, bekas kakitangan awam dan bekas tentera. Kes ini ada di pelbagai peringkat.”

“Di peringkat tentera, mereka telah pergi ke Mahkamah Tinggi dan berjaya, jadi Pejabat Peguam Negara merayu.”

“Di peringkat kakitangan kerajaan, mereka telah pergi ke semua peringkat ada yang berjaya dan ada yg tidak berjaya. Manakala di peringkat hakim, Mahkamah Rayuan pada 7hb lepas bersetuju dengan saman dibawa bekas hakim.”

“Atas sebab itulah kita kena tunggu. Saya nyatakan ia bukan sahaja melibatkan Menteri Pertahanan sahaja tetapi libatkan banyak pihak terutamanya Jabatan Peguam Negara yang mahukan ada muktamad. Libatkan bekas hakim, bekas kakitangan kerajaan dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan seramai 50 pesara ATM antaranya berpangkat mejar, leftenan, staf sarjan dan prebet memfailkan saman itu pada 17 November 2022 menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan.

Menerusi saman itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa defendan telah memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972 dalam kegagalan masing-masing untuk melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Mereka juga memohon pencen kesemua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 diselaras mengikut kadar dan cara sepertimana pencen pesara ATM selepas 1 Januari 2013 dan seterusnya, dengan keperluan untuk meminda Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982 untuk dimasukkan peruntukan perihal penyelarasan pencen yang baharu seperti diperintahkan oleh mahkamah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini