comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu rakyat dan kos sara hidup, tumpuan segera kerajaan – PM

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Isu rakyat dan kos sara hidup antara yang akan diberi tumpuan segera oleh kerajaan.

Ia antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet rasmi yang pertama hari ini iaitu lima hari selepas senarai anggota Jemaah Menteri diumumkan Jumaat lalu.

Mengulas mengenai mesyuarat tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur kerana ia berjalan dengan suasana yang harmoni dan produktif.

“Saya menegaskan bahawa isu-isu rakyat terutamanya masalah kos sara hidup harus diberi tumpuan dan diselesaikan sesegera mungkin,” katanya.

Mesyuarat Kabinet lazimnya diadakan pada hari Rabu atau berlangsung pada hari Jumaat sekiranya Parlimen bersidang.

Isnin lalu, Datuk Seri Anwar mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet yang antara lain memutuskan pemotongan gaji menteri sebanyak 20 peratus setiap bulan sehingga keadaan ekonomi pulih dan mengembalikan kekerapan cabutan khas nombor ramalan kepada lapan berbanding 22 kali setahun mulai 1 Januari depan.

Dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan juga, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beberapa langkah akan dilaksanakan bagi mengurangkan kos sara hidup termasuk mengurangkan harga telur ayam, selain penyaluran peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan oleh syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Turut dibincangkan ialah memuktamadkan senarai calon Timbalan Menteri bagi 28 kementerian dalam masa terdekat.

“InshaAllah, calon-calon Timbalan Menteri akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosial lewat petang tadi.

Hantaran tersebut turut mengepilkan empat keping gambar mesyuarat Kabinet termasuk buat julung kalinya gambar barisan Jemaah Menteri di Perdana Putra di sini.

Turut kelihatan pada gambar tersebut, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Mohd Ali.

Loading...
Terkini