comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu ringgit: MoU BNM & NBC bermakna – Anwar

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Kebangsaan Kemboja (NBC) hari ini adalah bermakna.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif itu adalah antara kaedah diambil negara dalam menangani isu nilai mata wang ringgit.

“Kami (Malaysia) mempunyai kejayaan relatif dengan China apabila 25 peratus daripada jumlah perdagangan menggunakan mata wang tempatan (ringgit), Thailand 18 peratus manakala Indonesia kira-kira 20 peratus.

“Dengan Kemboja, saya fikir dengan menggunakan mata wang tempatan sudah tentu ia akan mengurangkan beban dan tekanan daripada terikat kepada dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet sempena lawatan rasmi sehari rakan sejawatnya itu ke Malaysia, di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin berkenaan menyaksikan pertukaran MoU dalam bidang kewangan inovatif dan perkhidmatan pembayaran antara BNM dan NBC untuk memperkukuh kerjasama dalam inovasi kewangan dan pembayaran.

MoU itu telah ditandatangani dan diserahkan oleh kedua-dua gabenor iaitu Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour dan Gabenor NBC, Dr Chea Serey.

Sementara itu, BNM dalam kenyataan memaklumkan, MoU tersebut akan menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua bank pusat tersebut bagi memacu inovasi kewangan serta memastikan pembayaran rentas sempadan yang lebih cekap dan selamat demi manfaat individu dan perniagaan di kedua-dua negara.

Hal ini termasuk menghubungkan sistem pembayaran domestik di Malaysia dan Kemboja untuk membolehkan pembayaran QR rentas sempadan.

Menurut BNM, kerjasama terbabit juga bertujuan untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian pembayaran dalam mata wang tempatan serta menyokong penubuhan mekanisme pengawasan bersama (cooperative oversight mechanism) untuk pembayaran rentas sempadan yang lebih selamat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini