KUALA LUMPUR: :Keterangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung siasatan isu pensijilan halal akan diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi berkata, keterangan Ahli Parlimen berkenaan akan diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman jam 10 pagi.
Menurutnya, terdapat beberapa saksi lain juga akan dipanggil bagi membantu siasatan termasuk pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kita (polis) juga akan menentukan kemudian untuk memanggil saksi-saksi lain,” katanya secara ringkas.
Semalam, PDRM mengesahkan menerima lima kertas laporan terhadap Teresa berhubung kenyataanya membabitkan isu pensijilan halal yang dikatakan membebankan peniaga di Malaysia.
Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan selain Seksyen 505(b)Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Siasatan akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) melibatkan isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.