comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Isu status tanah Amar Baharin, bukan kes pertama berlaku di negeri ini – MB 

 

SHAH ALAM: Isu membabitkan tanah milik keluarga pelakon Amar Baharin di Semenyih bukan kes pertama yang berlaku di negeri ini.

Demikian pendedahan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan memaklumkan terdapat beberapa kes seumpama itu berlaku berikutan sistem perekodan dilaksanakan secara manual sebelum ini.

“Bagi kes (tanah milik keluarga) Amar Baharin, saya belum dapat laporan rasmi berhubung perkara itu.

“Tetapi menurut maklumat yang saya dapat, tanah keluarga Amar Baharin sudah diratifikasi kembali.

“Saya hendak tegaskan kembali, ini bukan kes pertama kali dan kebanyakannya ia disebabkan perekodan yang dibuat secara manual sebelum ini,” katanya ketika ditanya status tanah berkenaan selepas menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri MBI Selangor di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini, hari ini.

Amirudin berkata, disebabkan isu berkenaan kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian yang agak besar.

“Dalam tempoh 10 tahun (dari) saya jadi Exco kerajaan negeri sampai saya jadi Menteri Besar, terdapat lebih empat lima kes yang sama di mana tanah yang sudah dimiliki, diberikan kepada orang lain.

“Tetapi dengan sistem pemilikan e-tanah yang digunapakai oleh kerajaan negeri sebelum ini dan juga pada masa sekarang, kita percaya kes-kes seperti ini dapat dielakkan ataupun berjaya ditangani di peringkat awal.

“Saya yakin kes itu (tanah keluarga Amar Baharin) dapat ditangani, saya akan maklum secara rasmi kepada Amar atau pihak pejabat tanah akan memaklumkan hal itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Amar menuntut penjelasan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor berhubung kes tanah milik keluarganya yang terletak di Semenyih yang dikesan dikeluarkan geran kepada orang lain secara tidak sah.

Amar dalam perkongsian menerusi akaun X dan Instagram mendedahkan kejadian itu disedari keluarga ketika arwah bapanya masih hidup, apabila meninjau kawasan tanah untuk diusahakan namun terkejut apabila mendapati sebuah rumah dibina di situ.

Dalam perkongsian itu, Amar turut mempersoalkan siapa yang meluluskan geran kedua untuk individu lain selain bayaran penjualan tanah itu diberi kepada siapa sedangkan cukai tanah dibayar oleh ibunya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini