comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu tular, JAWI siasat bacaan doa dalam upacara bukan Islam

JAWI menjalankan siasatan bacaaan doa oleh seorang lelaki dalam program pecah tanah yang diadakan dalam suasana ritual agama lain di ibu kota, baru-baru ini. – Foto : NSTP



KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sedang menjalankan siasatan berhubung isu bacaan doa dalam satu program yang diadakan dalam upacara keagamaan orang bukan Islam.

Jabatan itu dalam satu kenyataan, hari ini berkata semakan pihaknya mendapati perkara itu berlaku dalam satu program pecah tanah di ibu kota, baru-baru ini.

“Justeru siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan amalan itu tidak mengandungi unsur-unsur yang menyalahi pandangan hukum atau fatwa berkaitan yang sedang berkuat kuasa.

“Sebarang kesalahan yang berhubungan dengan akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman mengikut Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997,” katanya.

Tambah kenyataan itu, keharmonian dan toleransi antara agama adalah perkara yang disarankan oleh ajaran Islam lebih-lebih lagi dalam situasi negara yang berbilang kaum.

“Namun semua pihak dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama bagi memastikan tindakan yang dilaksanakan mengikut lunas hukum syarak yang sudah ditentukan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video mengenai satu program pecah tanah bangunan ibu pejabat sebuah parti di ibu negara yang diadakan dalam suasana upacara keagamaan bukan Islam.

Menerusi rakaman video itu, kelihatan seorang lelaki dipercayai beragama Islam sedang membacakan doa di hadapan beberapa individu yang sedang melakukan ritual keagamaan bukan Islam.

Selain itu, kelihatan ratusan tetamu menghadiri program berkenaan bersama sejumlah tetamu kehormat.


Loading...
Terkini