comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu UM: Latar belakang penceramah jemputan perlu diselidik 

KUALA LUMPUR: Institusi Pengajian Tinggi tempatan perlu menyelidik secara mendalam latar belakang setiap penceramah jemputan supaya tiada permasalahan timbul selepas itu, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang kekangan untuk mengadakan forum atau ceramah di Institusi Pengajian Tinggi.

“Apa yang kita mahu supaya universiti menyelidiki dulu, siapa penceramah tersebut. Kita tidak mahu apa yang berlaku di UM (Universiti Malaya) ini terjadi kembali.

“Kerana ini akan menjejaskan imej pelbagai pihak termasuk universiti itu sendiri. Contohnya, kita boleh menyelidik penceramah tersebut melalui media sosialnya dan mampu menilai kecenderungannya ke arah mana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup pameran ‘Defence, Security and Sustainability (DSS) 2024’ di Dewan Zulfaqar, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)  hari ini.

Semalam, tular di X berhubung kehadiran pensyarah Bruce Gilley yang pro-Zionis dalam satu program di Universiti Malaya, yang dimuat naik sendiri oleh profesor sains politik tersebut.

Bagaimanapun, perkara itu mendapat kecaman rakyat Malaysia sebelum hantaran itu dipadam oleh Gilley, yang turut memberitahu dirinya telah meninggalkan Malaysia hari ini. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini