Tumpuan :
Nasional

Isu Vape: KPM perlukan sokongan ibu bapa pantau aktiviti anak

Fadhlina Sidek.- FOTO: NSTP

Oleh: Shuhadah Marzuki

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan, (KPM) meminta ibu bapa memantau tingkah laku serta aktiviti anak-anak ketika di luar sekolah dalam usaha mengatasi isu pengambilan rokok elektronik atau vape.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM telah mengeluarkan garis panduan dalam mengenakan tindakan disiplin terhadap murid yang terlibat dengan sebarang salah laku di sekolah.

“Penegasan telah kita buat berdasarkan garis panduan khas yang telah dikeluarkan dan dilaksanakan. Ia termasuk isu-isu gejala sosial termasuk rokok, buli, ponteng, dadah dan sebagainya.

“Kita turut mengingatkan garis panduan terbabit dari semasa ke semasa di semua sekolah.

“Bagaimanapun kita memerlukan sokongan dan bantuan daripada ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka ini khususnya aktiviti pembelian,” ujar Fadhlina selepas Majlis Peluncuran Garis Panduan Pendidikan Sosial, (PEERS) Kebangsaaan di Ibu Negara.

Jelasnya, sekolah akan mengenakan tindakan disiplin yang tegas kepada murid yang melanggar peraturan sekolah.

Semalam, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.

Al-Sultan Abdullah dilaporkan bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda akan penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di Pahang, terutama dalam kalangan belia, berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsan (AADK).

Sementara Menteri Besar Terengganu pula berkata, Pihak Berkuasa Tempatan, (PBT) negeri itu tidak akan memperbaharui lesen penjualan vape atau rokok elektronik.

Tegasnya, tindakan itu bertujuan menjaga maslahah umum terutama golongan muda.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian tidak mengharamkan penjualan vape pada peringkat nasional, dan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu.

Namun, kerajaan menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing termasuk melarang penjualan vape.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini