comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu ‘vape mushroom’ dan jualan dadah dalam talian dibincangkan dalam JKMD – Ahmad Zahid

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memaklumkan isu penjualan dadah secara dalam talian antara perkara yang dibincangkan dalam jawatankuasa itu pada mesyuarat hari ini.

Daripada sudut pendekatan dan penguatkuasaan pihak kerajaan jelasnya koordinasi telah dilakukan dengan pelbagai pihak termasuk penyedia perkhidmatan dalam talian.

“Dalam talian ini ada dua kaedah, satu kita telah melakukan koordinasi dengan semua penyedia platform perkhidmatan dalam talian seperti Shoppee dan Lazada tiada masalah.

“Tapi penjualan dadah secara individual mempunyai platformnya sendiri kepada bakal pelanggannya. Jadi yang ini agak sulit untuk disiasat, diikuti mesti ada pengesanan ke arah itu,” jelasnya.

Tambah Ahmad Zahid, menerusi pelbagai pendekatan, kaedah-kaedah tertentu boleh dilakukan dalam menangani isu itu.

“Penguatkuasa khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM (JSJN) ada kaedahnya, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ada kaedahnya.

“Tapi kita akan lakukan penyelarasan, kita tidak harus mempunyai pendekatan ‘silo’, tapi kita perlukan pelbagai pihak untuk melakukan pendekatan,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai isu ‘vape mushroom’ yang tular dikatakan mengandungi elemen dadah, jelas Ahmad Zahid perkara itu juga dibincangkan hari ini.

“Perkara ini juga disentuh sepintas lalu jawatankuasa ini, ini juga termasuk dalam modus operandi pengedaran atas talian termasuk e-dagang.

“Kementerian Kesihatan (KKM) berpendapat bahawa modus operandi dilakukan untuk pengedaran dan juga melihat kepada kandungan dadah melalui vape dan sebagainya ini akan memberi kemudaratan jika pencegahan tidak dilakukan.

“Oleh yang demikian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga membentangkan kertas tentang aspek-aspek yang harus dilihat dari segi pengedaran bahan-bahan dadah dalam vape,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Hadir sama dalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini