comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu veteran ATM dibincang Isnin depan – PM 

Oleh : Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil kira pandangan semua persatuan veteran termasuk Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) sebelum mesyuarat Skim Perkhidmatan dan Persaraan Negara Isnin ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan buat kali pertama isu veteran pencen akan menjadi antara agenda yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

“Kita akan adakan mesyuarat pertama secara menyeluruh mengkaji dan membuat pembaharuan dalam skim perkhidmatan awam dan juga bagaimana boleh meningkatkan kedudukan, pendapatan semua skim perkhidmatan termasuk yang pertama sekali soal veteran dan juga veteran tidak berpencen,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET ATM) Peringkat Negeri Selangor 2023 di Wisma Perwira ATM ibu negara hari ini.

Perdana Menteri dalam ucapannya juga akan meminta pandangan daripada PERHEBAT sebelum dibawa ke mesyuarat minggu hadapan.

Jelasnya, perbincangan akan dilakukan dengan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican supaya pandangan semua persatuan veteran termasuk PERHEBAT diambil kira sebelum mesyuarat itu diadakan.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Perdana Menteri turut menyampaikan Dana Program Peduli Veteran (PPV) kepada Mohamad Hasan, dan Penyampaian Geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) sebanyak RM5000 setiap seorang kepada lima penerima usahawan Veteran ATM serta Penyampaian Bakul Rahmah kepada Persatuan Veteran ATM Kuala Lumpur dan Selangor.

Loading...
Terkini