Tumpuan :
Nasional

Isu Waktu Berkerja Berlainan, CUEPACS mohon KKM berunding dengan persatuan

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu berunding dengan semua persatuan dan kesatuan yang mewakili profesion pegawai perubatan untuk membincangkan isu Waktu Bekerja Berlainan (WBB).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat, berkata langkah itu perlu dibuat bagi mendapatkan satu penyelesaian menang-menang kepada semua pihak berkaitan.

Selain itu, katanya penyelesaian itu juga perlu dilaksanakan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan terhadap rakyat terus terjamin.

“Isu ini perlu diselesaikan segera di meja rundingan secara profesional dan bukannya di media sosial agar perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas.

“CUEPACS memohon KKM untuk berunding dengan pihak persatuan dan kesatuan yang sah seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mewakili profesyen pegawai perubatan untuk mendapatkan satu keputusan yang baik antara kedua belah pihak.

“Kami menyeru semua pihak agar memberi peluang dan ruang kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan kepemimpinan tertinggi KKM untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan supaya situasi menang-menang dapat dicapai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, CUEPACS juga telah mengadakan sesi libat urus dengan Menteri Kesihatan bagi menyuarakan padangan mewakili pekerja-pekerja di lapangan pada 6 Januari lalu.

Justeru beliau menyeru semua petugas kesihatan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak kementerian selain tidak membuat sebarang kenyataan bersifat provokasi.

Katanya, perkara itu perlu dielakkan supaya keharmonian hubungan pekerja dengan majikan tidak tergugat.

“CUEACS percaya polemik yang berlaku ketika ini akan dapat ditangani dengam situasi menang-menang kepada semua pihak.

“Teruslah bertugas dengan semangat profesional yang tinggi demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini