comscore
Tumpuan :
Nasional

Ito terkejut; M Nasir anggap Pyanhabib sahabat yang setia

M Nasir tak terkejut berita pemergian Allahyarham Pyanhabib berikutan melihat perubahan fizikal yang ketara ketika kali terakhir bertemu pada 14 Mei lalu. – FOTO: M Nasir / Instagram

KUALA LUMPUR: Allahyarham Pyanhabib disifatkan penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir sebagai sahabat yang setia.

Disebabkan itu, M Nasir berkata, arwah turut menuntut kesetiaan sama daripada sahabatnya.

“Beliau adalah rakan yang setia dan disebabkan itu, arwah menuntut kesetiaan sama daripada sahabatnya.

“Arwah juga seorang yang selalu menyokong rakan-rakan. Walau apa yang berlaku, arwah tetap memberi sokongan dan ambil peduli.

“Antara kata-katanya yang saya ingat sampai sekarang adalah, apa sahaja terjadi, kita kena teruskan hidup,” katanya.

Ditanya kali terakhir berjumpa dengan penyair dan pelakon itu, penyanyi lagu Mentera Semerah Padi itu berkata, ia berlaku ketika mereka sama-sama menjayakan rakaman video promo Konsert Dato MN45ir Cipta yang bakal berlangsung pada 10 Ogos depan.

“Kali terakhir ketika kami menjalani penggambaran video promo pada 14 Mei lalu. Masa itu, saya nampak tubuhnya semakin kurus.

“Nak kata terkejut dengan pemergiannya tidak juga kerana saya melihat perubahan fizikal sangat ketara berbanding ketika beliau masih ceria dan sihat,” ujarnya.

Ito menyifatkan pemergian Allahyarham Pyanhabib sebagai hilangnya sebutir permata. FOTO: NSTP

Sementara itu vokalis kumpulan legenda, Blues Gang, Ito Mohd terkejut dengan berita pemergian pelakon dan penyair, Allahyarham Pyanhabib malam tadi.

Ito yang mengenali Allahyarham Pyanhabib sejak era 1980-an, tidak pernah tahu sahabatnya itu berdepan masalah kesihatan.

“Saya dapat tahu berita pemergian arwah Pyanhabib daripada Nasir Jani. Ketika itu, saya baru tiba di Tampin, Negeri Sembilan selepas menghadiri sidang media Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato di ibu negara, petang tadi (semalam).

“Esok saya akan pergi beri penghormatan terakhir kepada arwah,” katanya.

Ito mengaku terkejut dengan pemergian Allahyarham Pyanhabib yang dikenali ketika sama-sama terbabit dalam pembikinan filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.

“Kami sepatutnya berjumpa pada acara Kopi, Lagu & Puisi di Dataran Malawati, Kuala Selangor, Jumaat ini… Nampaknya, tidak kesampaian,” katanya yang kali terakhir bertemu Allahyarham Pyanhabib di Shah Alam, Selangor, sebelum Syawal lalu.

Ito berkata, setiap kali Blues Gang membuat persembahan yang menyelitkan bacaan puisi, mereka pasti mengundang Allahyarham Pyanhabib.

“Selalunya, kalau ada ‘show’, saya bawa arwah Pyanhabib bersama. Arwah selalu deklamasi puisi untuk Blues Gang.

“Saya sifatkan kehilangan Allahyarham Pyanhabib umpama hilangnya sebutir permata. Biarpun dirinya seorang yang istimewa, namun, arwah meninggalkan impak kepada dunia hiburan,” katanya.

Allahyarham Pyanhabib atau nama sebenarnya, Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, malam tadi, selepas seminggu menyambut ulang tahun ke-66.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini