comscore
Tumpuan :
Nasional

”Itu Fitnah, PN tidak makan duit haram!”- Muhyiddin

Oleh: Kumaran Rajamoney

KULIM: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membayangkan parti itu menerima dana pilihan raya daripada syarikat judi.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai satu fitnah,  Muhyiddin menegaskan PN sebuah parti yang mempunyai prinsip dan tidak akan menerima dana daripada sumber yang haram.

“Tuduhan itu begitu mudah dibuat, tapi apa bukti? Kami ada prinsip tidak akan menerima bantuan dari sumber-sumber yang haram. Saya tak tahu macam mana Perdana Menteri boleh membuat tohmahan sebegitu.”

“Hanya kerana kami ada banyak bendera, kita gerakkan jentera kita dengan begitu berkesan sehingga mengalahkan mereka? Itu tidak bermakna kita mempunyai peruntukan yang besar,” katanya.

PKR dan Pakatan Harapan juga katanya mempunyai sumber yang menyumbang dana pilihan raya.

“Saya tak nak tuduh apa -apa, parti mereka juga mendapat bantuan juga. Saya fikir ini adalah tuduhan yang amat berat dan kita akan nilai apa yang boleh dibuat mengenai tindakan susulan.”

Ditanya sekiranya PN masih mengusahakan untuk membentuk kerajaan persekutuan sebelum tamat penggal Pilihan Raya Umum Ke-15, Muhyiddin berkata beliau tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku pada masa depan.

“Setakat ini kita terima kenyataan sedia ada, tapi ke hadapan kita tak tahu. Bukan kita minta tapi mungkin ada ahli parlimen memikirkan apa masalah yang dihadapi oleh kabinet dan kerajaan sekarang, mereka rasa tidak selesa.”

“Saya dapat maklumat mereka berasa janggal dan sebagainya. Kalau mereka membuat keputusan begitu, Wallahu a’lam,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ceramah Mega Padang Serai di Taman Selasih, di sini malam tadi.

Loading...
Terkini