comscore
Tumpuan :
Nasional

IWK Eco Park sedia pelbagai kemudahan untuk gaya hidup sihat

KUALA LUMPUR: Taman Sukan serta Rekreasi, IWK Eco Park @Pantai Dalam dibangunkan oleh Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd untuk kemudahan orang ramai.

Terletak di atas Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2, kawasan seluas 12 hektar itu hanya kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur, bersebelahan beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, M Narendran, berkata kemudahan awam itu dibina di atas loji rawatan air kumbahan berpusat, loji bawah tanah dan yang terbesar di rantau Asia Pasifik.

“Loji ini berupaya memproses air kumbahan daripada kira-kira 1.43 juta penduduk atau lebih tepat hampir sebahagian besar penduduk di kawasan Kuala Lumpur dan sebahagian dari Petaling Jaya.

“Luas keseluruhan kompleks loji serantau Pantai 2 ini 17 hektar, merangkumi keluasan Eco Park seluas 12 hektar.

Apa yang menarik di taman ini, disediakan pusat sukan dan rekreasi setempat di mana terdapat pelbagai kemudahan.

“Pastinya, tiada lagi perasaan tidak senang bila orang ramai mendekati loji rawatan kumbahan kerana bila anda di sini, mungkin anda tidak terfikir pun yang anda sedang berada di atas atau berdekatan loji kumbahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian IWK Eco Park @ Pantai Dalam yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Sementara itu, Fahmi berkata, IWK Eco Park @ Pantai Dalam menawarkan dewan komuniti serba guna untuk perayaan, majlis dan acara korporat, bilik mesyuarat, kawasan berkelah dan BBQ, trek joging dan berbasikal.

“Ada juga pelbagai kemudahan sukan termasuk gelanggang badminton, futsal, tenis, sepak takraw dan banyak lagi.

Taman ini menggabungkan seni landskap dan reka bentuk kejuruteraan berserta pelbagai kemudahan yang dikelilingi kehijauan alam,” katanya.

Selain itu, tapak perniagaan turut disediakan bagi memberi peluang peniaga kecil menjana pendapatan.

Untuk maklumat lanjut mengenai IWK Eco Park @ Pantai Dalam atau tempahan kemudahan sukan atau rekreasi, layari www.ecopark.iwk.com.my atau hubungi 03-22420420.

Loading...
Terkini