comscore
Tumpuan :
Nasional

IWK sasar penghasilan 21,500 megawatt tenaga solar menjelang 2027 – Fadillah

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium Sdn Bhd menyasarkan penghasilan tenaga solar sebanyak 21,500 megawatt dalam tempoh setahun menjelang tahun 2027.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, matlamat itu selari dengan dengan hasrat kerajaan untuk menuju ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Fadillah turut berkata, usaha itu juga bersamaan dengan sasaran kos penjimatan sebanyak RM1.8 juta.

“IWK turut menggunakan tenaga boleh baharu (TBB) iaitu tenaga solar PV. Saya difahamkan, tenaga solar ini telah digunakan di kira-kira 396 tapak loji bagi menjalankan beberapa peralatan di dalam kawasan loji-loji rawatan kumbahan IWK.

“IWK baru-baru ini, telah mendapat satu lagi pengiktirafan global apabila diiktiraf sebagai salah satu daripada empat peneraju utama dalam SDG-6 pada Global Water Summit 2024, yang diadakan di London.

“Pengiktirafan yang telah dicapai IWK ini pastinya menyemarakkan lagi komitmen sedia ada dalam menjayakan inisiatif hijau yang lebih mampan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya ketika berucap di Majlis Ulang Tahun IWK ke-30 hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) itu berkata, penggunaan semula bio-pepejal sebagai baja organik merupakan langkah efisien dalam mengurangkan pembuangan sisa di tapak pelupusan.

Tindakan itu juga katanya, menyumbang kepada alternatif penggunaan baja sintetik yang jauh lebih menjimatkan kos.

Turut hadir, Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasir dan Pengerusi IWK, Ahmad Johnie Zawari.

Pada majlis sama, Fadillah turut merasmikan Program Perantis IWK serta penyampaian Anugerah Khidmat Setia IWK.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini